Skip to main content

Mubarak letak jawatan: Revolusi rakyat masuk fasa baru

Tanggal 11 Februari 2011, maka jatuh sudah pemerintahan regim Mubarak yang memerintah secara diktator selama 30 tahun. Tarikh ini juga harus diingati oleh seluruh warga Mesir di atas kejayaan mereka selaku suara rakyat menumbangkan sang penguasa yang tamak dan zalim. Mubarak pada awalnya enggan melepaskan jawatan akhirnya akur dengan suara rakyat yang mahukan beliau meletakkan jawatan.

Rakaman penghargaan setingginya buat seluruh pendokong revolusi yang membuktikan komitmen dan istiqamah mereka berdepan ujian perit menumbangkan diktator dan firaun moden yang jahat itu.
Revolusi ini juga dibina di atas ratusan syuhada yang gugur terkorban bagi membebaskan Mesir yang penuh kebobrokan.

Diharapkan pihak tentera akan mempercepatkan usaha pemulihan demokrasi terutamanya bagi melangsung proses pilihan raya adil dan bebas bagi memilih tampuk kepempimpinan yang baru.

Semoga segalanya berjalan lancar selepas ini. Biar rakyat mesir menentukan untung nasib dan masa depan mereka sendiri, serta tidak lagi terkongkong di bawah pengaruh Amerika Syarikat dan cengkaman Israel. Mesir yang ditawan Hosni Mubaak dan regim nasionalis-sekularis-zalim selama lebih 60 tahun itu mesti dikembalikan kepada warganya sendiri.


KAHERAH, 12 Feb — Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan kebangkitan rakyat — meletakkan jawatan pada hari ke-18 demonstrasi semalam (tengah malam waktu Malaysia).

Naib Presiden Omar Suleiman mengumumkan Hosni sudah menyerahkan kuasa kepada tentera.

Ia disambut dengan gembira oleh penunjuk perasaan.

Beberapa jam sebelum Omar membuat pengumuman laporan awal menyebut Hosni telah meninggalkan ibu negara Mesir bersama keluarganya sementara momentum tunjuk perasaan yang masuk hari ke-18  terus meningkat — sehari selepas presiden itu menegaskan tidak akan berundur sekarang.

Pihak tentera pula berjanji akan menarik balik perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak tiga dekad lalu selepas keadaan semasa reda.

Hosni memerintah negara itu sejak 1981 dan kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Laporan NBC News berkata, Hosni meninggalkan Kaherah untuk menuju resort Laut Merah Sharm el-Sheikh.

Laporan itu menyebut Hosni meninggalkan ibu negara, salah satu lokasi demonstrasi sejak tiga minggu lalu, bersama keluarganya dari pangkalan tentera Almaza.

Bagaimanapun laporan stesen TV Al-Jazeera yang dipetik msnbc pula berkata, Hosni sudah pun meninggalkan Mesir dan terbang ke Emiriah Arab Bersatu.- TMI

Comments