Skip to main content

Politik - Sudah tidak tentu yang mana hujungnya dan yang mana pangkalnya.

Politik negara sudah sampai ke tahap yang tidak pernah kita alami seumur hidup kita. bermula dengan isu kecil-kecilan sekarang sudah sampai kepada tahap yang membingungkan kita semua. Pemimpin-pemimpin dan penyokongnya sama sahaja bermain dengan permainan politik yang terlalu kotor dan menjijikan.

Saya tidak nampak lagi isu yang lebih merbahaya dari isu agama yang di mainkan oleh beberapa kerat manusia ‘desperate’ yang menggunakan isu agama mungkin sebagai isu yang mereka anggap sebagai isu yang paling selesa bagi mereka untuk mencapai matlamat peribadi mereka. Bagi setengah pihak, rasanya yang sedang berkuasa isu ini merupakan jalan yang terakhir yang memungkinkan untuk meneruskan sokongan orang Melayu terutamanya bagi mengekalkan kuasa.

Isu ini isu yang sengaja diada-adakan. Itu pandangan saya dan saya tetap dengan pandangan itu. Seseorang yang hendak diceraikan selalunya akan bercakap tangkap muat untuk melindungi kelamahannya. Politik BN begitulah. Apabila ada rasa-rasa akan ditolak maka isu demi isu akan diperbesarkan dan tentulah mangsanya ialah parti pembangkang.

Ahli-ahli DAP yang kebanyakannya adalah beragama Buddha dituduh mahu meletakan kristian sebagai agama rasmi. Di mana lojiknya kita pun tak tahu. Apabila isu ini diperhangatkan oleh Utusan maka berderu-deru opotunis bercakap dan berucap dengan nada yang keras kononnya akan berjuang habis-habisan. Ibrahim Ali pula akan berjihad untuk Islam. Bila Ibrahim Ali hendak berjihad dalam isu ini secara langsung Ibrahim di dalam hidupnya belum lagi berjihad.


Tetapi apa pun, keadaan politik negara begitu bercelaru dengan berbagai-bagai isu tepian yang begitu ghairah diperbesarkan oleh setengah pihak. Isu sebenar yang membuatkan merudumnya sokongan ramai terhadap kita tidak dipertikaikan dan diperbahaskan dengan betul. Isu agama ini betul-betul isu untuk melarikan dari isu sebenar yang kita hadapi iaitu ketirisan kewangan negara dan nilai budaya yang sudah berubah keterlaluan sehingga kita sudah hilang identiti sebagai parti nasionalis.


Bagi adik-adik yang muda sekarang ini mereka hanya mengenggeh sahaja. UMNO kata orang UMNO kata mereka. Tetapi apabila ditanya apa dia UMNO itu, mereka akan menjawab UMNO membawa bekalan api letrik, membina jalanraya, membekalkan air bersih, memberi lembu pawah, hendak menang pertandingan ketua pemuda dan naikkan sipolan dan sipolan, mesti benci Nik Aziz, mesti tuduh DAP komunis, mesti undi UMNO kerana UMNO sahaja yang boleh menyelamatkan orang Melayu dan berbagai-bagai retorik yang lain.

Ada anak-anak yang muda sekarang ini bercakap dan menulis menggunakan kata-kata kesat seperti BABI, bingai , anjing dan berbagai-bagai lagi istilah kotor dan memanggil nama buruk kepada orang yang mereka tidak suka. Tetapi apabila ada seorang yang mereka takuti menggunakan istilah pandikutti ianya menjadi isu besar sedangkan manusia ini dipanggil dengan berbagai-bagai nama yang kotor seolah-olah manusia yang lain itu bukan ciptaan Tuhan.


Perbalahan politik memang dari dahulu kala berlaku tetapi mereka yang berbalah mempunyai bahasa politik yang lebih berseni dan finesse nya yang tinggi. Kata mengata di antara yang berbalah semasa dahulu ada sempadannya. Sempadannya bukan di adakan dengan undang-undang tetapi persempadanan kata mengata itu digariskan dengan etika dan budaya bangsa yang begitu tinggi. 

Bergaduh, tetapi ada sempadan moralnya. Ada yang patut disimpan dan ada yang patut dikeluarkan.
Seperti kita bersolat, ada tata caranya. Dalam solat wajib ada sunatnya dalam solat sunat itu ada wajibnya. Bersolat waktu yang wajib, membaca ayat lazim itu adalah sunat, di dalam sembahyang sunat itu membaca al-fatihah itu adalah wajib. Pendeknya ada wajibnya dan ada sunatnya.

Kita lupa nasihat agama kita; apabila terjumpa perkara yang buruk, jangan terus dibuang, kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Begitu juga kalau terjumpa perkara yang cantik molek jangan terus diterkam kerana mungkin ada celaka disebaliknya.


UMNO seolah-olah adalah ‘the almighty’. Segala-galanya datangnya dari UMNO bukannya dari Tuhan. Takburnya tidak terhingga. Kata mereka kalau tidak ada UMNO Melayu tidak boleh hidup. Tetapi apabila Melayu yang cuba untuk membuktikan yang UMNO bukan penentu segala-galanya mereka memaki hamun dan mencerca puak ini. Kalau benar UMNO adalah penentu kepada semua bagaimana masih ramai orang Melayu yang terkapai-kapai; hanya pemimpin-pemimpin sahaja yang kaya raya dan hidup ‘glamorous’ yang tidak terbatas oleh adat dan budaya bangsa kita.


UMNO membawa isu rasis, tetapi yang dituduhnya membawa isu rasis itu ialah DAP. Orang Cina tidak akan ada representasi dalam kerajaan jika MCA tewas dalam pilihanraya. Tetapi orang Melayu lupa yang paling banyak menyumbang kepada kantung kerajaan pada hari ini adalah orang Cina yang telah berjaya di dalam perniagaan mereka. Merekalah yang pembayar cukai yang paling banyak kepada kerajaan.


Bangsa Cina tidak menghormati mereka kerana kita tidak berfikir sebelum bercakap. Kaum Cina hanya meminta kerajaan yang telus dan mereka tidak gemar cukai yang banyak dibayar oleh mereka ke dalam perbendaharaan kerajaan itu terlalu banyak diselewengkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Tetapi apabila saya bercakap seperti ini saya akan dituduh menyokong kaum Cina dan tidak hormat kepada kaum sendiri.

Kita selalu lupa yang ‘respect has got to be earned’. Itulah sebabnya ramai di antara yang berfikir tidak lagi mahu bergiat kerana kami tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan itu dan kami mengharapkan pemimpin kita untuk mendapatkannya. Orang seperti saya yang kerdil ini sedar yang kami tidak berkemampuan untuk mendapatkan penghormatan sebagai pemimpin maka kami berundur dari awal lagi.

Tetapi pemimpin Melayu yang diharapkan untuk mendapatkan penghormatan itu tidak juga berjaya menjadi pemimpin yang ‘magnanimous’ dan terus sahaja mengertak kesana dan mengugut di sini dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan pernghormatan yang sangat penting itu secara natural. DAN mereka tidak pula mahu berfikir kenapa mereka gagal untuk mendapatkan penghormatan itu. Apabila menemui kegagalan maka pihak lain pula dipersalahkan. Pihak sendiri tidak juga bersalah.

Sesungguhnya rakyat tidak banyak masalah untuk menentukan sikap politik mereka. “Yang bermasalah ialah pemimpin-pemimpin yang sudah hilang hidayah” kata seorang kawan professor dari universiti tempatan.

Comments

Post a Comment

Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-