Skip to main content

Ada aku kisah?

Persoalan “ada aku kisah?” ini sering membelenggu penghuni bumi Malaysia hari ini. Rakyat Malaysia sememangnya amat bertuah kerana masih lagi mampu bangun pagi dalam suasana yang aman serta bersarapan roti canai dan segelas teh tarik. Nikmat seperti ini semakin terhakis di kalangan masyarakat dunia. Cuba kita lihat pergolakan politik yang berlaku di Tunisia, Mesir dan terbaru di Libya. Pergolakan yang dikatakan berlaku atas nama perjuangan. Jika mungkin ini sebuah perjuangan kenapa ia perlu dibayar dengan pertumpahan darah? Seolah-olah dunia politik hari ini dahagakan darah.

              Namun begitu, bumi tercinta kita hari ini masih lagi dirahmati dengan sebuah keamanan yang tidak mungkin dapat dibayar wang ringgit. Cuba bayangkan ketika kita sedang meneguk teh tarik di sebuah kedai mamak. Tiba-tiba terdengar bedilan tembakan yang membingitkan telinga. Teh tarik yang manis pun akan hilang manisnya dek dihanyut ketakutan dan keinginan menyelamatkan diri. Syukur perkara sebegini tidak berlaku di Malaysia setakat ini.

               Sememangnya gelora politik Malaysia pun apa kurangnya apabila kita melihat 16 pilihanraya kecil berlaku dalam penggal pemerintahan kali ini. Tohmahan sana, tuduhan sini, bongkar sana, isu sini, namun masyarakat Malaysia masih harmoni. Kewarasan rakyat Malaysia masih dalam keadaan terpuji walau pun disajikan dengan pelbagai menu fitnah bersulamkan rasuah politik serta seangkatan dengannya. Perjuangan dalam suasana damai ini membolehkan perbezaan mazhab politik masih boleh duduk semeja.
                Ada aku kisah? Fahaman kau bukan fahaman aku. Perjuangan kau bukan perjuangan aku. Bak kata orang Pulau Pinang, “Lantak hang la!”. Ini kerana implementasi janji-janji manis politik tidak dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh. Bukan semua dapat rasa. Arus perdana politik di Malaysia masih relevan dengan norma-norma kehidupan rakyat kita yang berbilang kaum walau pun adakalanya tiupan api fitnah dan tohmahan mengundang persengketaan. Meski pun begitu, anak kita masih boleh pergi ke sekolah dan kita masih bebas untuk keluar mencari nafkah keluarga.

                Biarlah kita berjuang dengan cara ketimuran kerana kita sebuah masyarakat yang bertamadun. Usah kita jadikan perjuangan politik sebuah perjuangan bermandikan darah. Biarkan mereka dengan cara mereka dan kita dengan cara kita. Rakyat sememangnya perlu bangkit dari lena yang panjang. Perlu ambil tahu dan ambil kisah. Jangan suatu hari kita semua akan dipersalahkan oleh generasi masa depan atas “ketidakkisahan” kita hari ini. Jangan biarkan kerakusan rasuah menghancur sebuah masa depan yang gemilang.




                  Medium informasi yang pelbagai hari ini perlu kita ambil kisah demi mentafsir sesebuah propaganda politik yang melanda negara kita. Adalah tidak wajar jika hari ini kita masih bertunjangkan kepada satu medium informasi. Meski pun jaringan internet semakin menjalar ke kawasan luar bandar namun kredibiliti informasi dari internet dianggap mengarut. Di sinilah bermulanya peranan kita untuk mentafsir atau menghadam informasinya. Berilah ruang kepada minda kita untuk berkembang. Berfikir demi menentukan hala tuju masa depan negara kita yang tercinta ini.

                 Sebuah kerajaan yang telus adalah sebuah kerajaan yang bersedia untuk dikritik. Situasi ini menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat khususnya dan negara amnya. Kritikan akan memandu kita kembali kepada dasar dan paksi sebenar sesebuah perjuangan kerana pemimpin juga adalah manusia biasa yang sama seperti kita manusia berstatus rakyat.  Sememangnya kita semua hanya insan biasa yang tidak akan terlepas dari dosa dan melakukan kesilapan.

                Segalanya bermula dari diri saya sendiri, anda, mereka dan seluruh rakyat Malaysia untuk ambil kisah. Akhir kalam, jom ambil kisah kerana Malaysia milik anda!


Comments