Skip to main content

Himpunan Bersih: Haram Bagi Sesiapa Termasuk Polis Cetuskan Provokasi - Dr.Asri

Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.


Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.

“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’
 kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata, SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,” 
kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.

“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.


Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih.



Ulasan:
Memetik kata-kata TG Nik Abdul Aziz... "jangan disekat air yang mengalir dari gunung, atau anda akan tercampak dibawa arus itu..."

Comments