Skip to main content

Kami bukan 'hampas', tapi santan

“Kalau kita terus menghantar semua pelajar cemerlang ke luar negara, yang tinggal di universiti dalam negara hanya pelajar 'hampas', jadi macam mana universiti kita hendak mencapai tahap yang lebih baik” Prof Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UTM.


Begitulah bunyinya kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Naib Canselor yang pernah mengkritik keras usaha menaikkan ranking university yang dilakukan oleh Universiti Malaya sebelum daripada ini. 

Kenyataan ini dikeluarkan dalam Utusan Malaysia. Saya melihat kenyataan dikeluarkan sangat prejudis kepada mahasiswa dalam negara.

Ukuran cemerlang digunakan oleh beliau tidak mempunyai indikator yang nyata kerana jika mahu dinilai pencapaian akademik, mahasiswa dalam negara juga punyai status yang begitu cemerlang. 

Perkara yang menjadi pertimbangan kita ialah, universiti luar negara berada pada ranking yang baik bukan kerana pelajar cemerlang Malaysia yang belajar di sana, tetapi sistem dan 'governance' yang dilaksanakan disetiap universiti.

Persoalannya, adakah kemudahan dan infrastruktur universiti kita sama dengan universiti maju di luar negara? Bagaimana pula dengan keupayaan pensyarah mereka yang boleh menghasilkan tesis isi jurnal yang menjadi alat penilai utama dalam menetukan rangking sesebuah universiti?

Tidak lupa juga kita perlu bercakap sejauh mana mahasiswa dalam negara bebas bersosial dalam aktiviti politik, ekonomi dan budaya sedang mereka masih dibelenggu dengan AUKU. 

Apa yang nyata ialah mahasiswa dalam Negara cuba dan berusaha keluar dari kepompong ketakutan akta dan sekatan ini dengan aktivisme yang dilakukan dan ini menjadi pembeda yang nyata dengan mahasiswa di luar negara.

Jika mahasiswa dalam Negara digelar hampas, bagaimana pula pensyarah dan Naib Canselor universiti dalam Negara? Tidak ada hampas jika tiada 'ayam' yang mamatuknya, maka santannya hanya dimakan oleh manusia.

Takkan kita nak gelarkan pihak universiti dalam negara ini sebagai ayam? Tidak sama sekali.
Melihat kepada kualiti mahasiswa dalam dan luar negara, ianya suatu yang subjektif dan susah diukur. Kualiti sebenar mahasiswa adalah sejauhmana mereka boleh memberi sumbang saran kepada pembangunan negara dalam semua sektor, lebih-lebih lagi bila semasa mereka masih belajar.

Hari ini, slogan mahasiswa adalah rakan kepimpinan Negara, namun dimana suara mahasiswa dalam penetapan setiap dasar negara? 

Pernahkah mahasiswa turut sama dipanggil untuk memberikan idea dalam bajet tahunan yang disediakan? Jika dilibatkan mahasiswa dalam idea perancangan bajet, nescaya cadangan membaiki rumah perdana menteri bernilai RM 65juta dan Menara Warisan RM 5 billion tidak akan diterima.

Sepatutnya proses muhasabah untuk mencari punca dan faktor penentu kepada pencapaian sebuah universiti mesti dibuat secara holistik. 

Paradigma mahasiswa dalam negara sebagai mahasiswa keals kedua mesti dilempar keluar kerana universiti dalam Negara juga pernah melahirkan pemimpin negara dan tokoh terkenal yang ada pada hari ini. Mesti diingat, mahasiswa adalah aset kepada negara, bukan kerana segmentasi goegrari kami dipinggirkan.

Jangan hanya menyalahkan mahasiswa semata-mata, sebaliknya falsafah pendidikan tinggi mesti dinilai kembali, dasar dan akta mesti disemak semula mahasiswa hanyalah sebiji kelapa, yang akan menentukan ianya menjadi santan atau hampas ialah mereka yang memerah dan yang memprosesnya. Jika prosesnya betul, maka santanlah natijahnya, jika tidak sebaliknya.

Saya rasa Naib Canselor UTM perlu memohon maaf kepada mahasiswa dalam Negara atas kenyataan yang dikeluarkan.


Penulis adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Comments