Skip to main content

Mahasiswa dan Bersih


Kelompok mahasiswa disebutkan sebagai pelapis kepimpinan Negara. Tak kurang juga dengan frasa mahasiswa sebagai rakan kepimpinan Negara. Apa juga istilah dan frasa yang diberikan, apakah ianya betul atau hanya perkataan manis mendodoi mahasiswa kita?

Jika dikatakan mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan Negara, persoalannya ialah Negara yang bagaimana yang bakal diwarisi oleh mahasiswa sekarang? Adakah kita akan mewarisi Negara yang penuh dengan hutang, fitnah berleluasa, kebejatan masalah murtad, kebanjiran pekerja asing yang menjadi liabiliti, dan kemusnahan sistem pilihanraya dan media? Persoalan ini mesti dijawab oleh mahasiswa dan anak muda sekarang.


Mahasiswa menjadi rakan kepimpinan Negara, merupakan frasa yang cukup hebat bunyinya. Apa yang dimaksudkan dengan memimpin? Mungkin juga rakan kepimpinan Negara ini ialah mahasiswa hanya perlu ikut dan patuh dengan segala dasar dan program yang dianjurkan, barulah digelar menjayakan kepimpinan Negara? Jika ini maksudnya, maka meleset sekali pandangannya. Rakan kepimpinan mestilah mesti menjadikan mahasiswa sebagai rakan kongsi idea dan pandangan dalam apa juga perkara. Jangan disempitkan ruang berfikir mahasiswa yang pada hari ini dikekang oleh seksyen 15 AUKU yang jelas menghalang mahasiswa dalam berpatisipasi dalam medan politik. Menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk memberikan idea dan pandangan sendiri khususnya dalam menjawab kepada persoalan masa depan Negara kerana pemain utama Negara pada masa depan Negara ialah mahasiswa pada hari ini.

Himpunan BERSIH adalah suatu usaha menjayakan pengamalan demokrasi dan menjernihkan proses pilihanraya yang ada. Pilihanraya menjadi penentu kepada pemimpin Negara yang akan ‘memandu’ Negara pada masa hadapan. Jika pemandu yang mabuk dan tidak mempunyai lesen diberikan untuk memegang ‘stering’ kerajaan, maka tunggulah kemalangan dahsyat yang akan berlaku. Pada hari ini pun kita boleh melihat kemalangan-kemalangan yang berlaku dengan ketirisan perbelanjaan wang Negara dan salahguna kuasa yang menjadi biasa dikalangan pemimpin.

Maka mahasiswa perlu ‘menegur’ kesalahan dan kelompangan ini dengan turun bersama dengan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih untuk menjamin masa depan Negara tercinta ini. Mahasiswa perlu menentukan masa depan kita dengan tindakan berani pada hari ini, supaya si pengecut dan perompak segera lari dari bumi Malaysia ini. Jangan kita biarkan kepimpinan Negara ini ditentukan oleh warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi, sebaliknya kita turun bersama BERSIH untuk menolak mereka sebagai pengundi yang boleh memusnahkan Negara. Turunnya mahasiswa dalam himpunan BERSIH sebagai tanda patriotik kita kepada negara dengan menolak warga asing sebagai penentu masa depan Negara. Membiarkan warga asing menentukan kepimpinan Negara kita adalah tindakan yang paling tidak bermaruah. Turun BERSIH simbol kita petahan maruh.

Mahasiswa bijak menilai dengan akal yang sempurna, buang sifat pentingkan diri untuk perjuangan keadilan yang menjadi teras kepada perjuangan Islam. Kehadiran mahasiswa pada himpunan BERSIH bakal menjadi petrol yang akan menambahkan lagi semarak api menuntut keadilan dan kebebasan untuk Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia bercakap soal BERSIH, takkan mahasiswa hendak berdiam diri? ‘Student power’ adalah kuasa keberanian mahasiswa. Ayuh teman-teman kita nyatakan pendirian.

Penulis adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia ( GAMIS )

Comments