Skip to main content

Pemuda PAS Puji Zizan Raja Lawak

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS menganggap Zizan Raja Lawak sebagai seorang pemuda yang berani kerana tidak takut mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka berhubung dialognya yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam filem Hantu Bonceng.


Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, Pemuda PAS menghormati sikap itu dan adalah wajar untuk pengarah dan pelakon Filem Hantu Bonceng iaitu Ahmad Idham dan Zizan Raja Lawak memohon maaf kerana mencetus kekeliruan kepada masyarakat awam.
“Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada Mohd. Razizan Abd. Razak (Zizan Raja Lawak) yang telah mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka.
“Sekiranya mereka memohon maaf maka mereka akan lebih dihormati,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nasrudin berkata, insiden itu diharap menjadi pengajaran kepada penonton dan golongan artis supaya lebih berhati-hati supaya tidak mencetus kekeliruan yang boleh mendatangkan fitnah dan dilihat mempersendakan agama Islam.
Katanya, aksi mendedahkan aurat, pergaulan bebas, berpelukan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, adegan tahyul dan sebagainya perlu dielakkan dalam dunia lakonan kerana ia menjadi contoh  tidak baik kepada masyarakat dan bertentangan dengan hukum Islam.
Jelasnya, Pemuda PAS senantiasa menyokong kerjaya seni dan budaya kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya, namun Islam mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi supaya seni dan budaya tidal merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.
Malah, katanya, ada ruang yang luas untuk seniman dan karyawan menghasilkan karya seni tanpa melanggar batas syariat dan mencacatkan keindahan Islam seperti filem tanpa adegan wanita seksi yang menampakkan aurat sehingga ke paras paha serta mendedahkan sebahagian besar di bahagian dadanya.
Sebagai contoh, kata beliau, filem dari Iran “Under The Moonlight”  memenangi enam anugerah diperingkat antarabangsa pada tahun 2001 dan filem “Children of Heaven” yang dicalonkan sebagai penerima anugerah Oscar dalam Academy Award dan memenangi 10 lagi anugerah di pelbagai peringkat antarabangsa.
Mynewshub semalam melaporkan Zizan Raja Lawak bertindak memohon maaf di atas ketelanjurannya mengucapkan dialog yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam filem Hantu Bonceng yang dibintanginya.
Pengarah Filem berkenaan, Ahmad Idham pula sebaliknya masih mempertahankan bahawa dialog tersebut bukanlah satu kesalahan kerana filem itu katanya turut ditonton empat ulama sebelum ia disiarkan kepada umum.
Beliau bagaimanapun belum lagi menamakan siapa keempat-empat ulama itu.
Ahmad melalui Twitter juga marah dengan segelintir peminat yang katanya tidak beradab dalam memberikan teguran mengenai isu tersebut. – mynewshub.my

Comments