Skip to main content

Ada apa dengan bendera?

Sejak usia remaja, saya pernah dinasihatkan oleh orang tua supaya jangan masuk campur dengan arena politik apabila dewasa kelak.  Mengikut mereka, politik hanyalah "permainan kotor" yang menguntungkan politikus sahaja, lantas kepentingan rakyat sejagat jarang dipertimbangkan secara ikhlas.  Setiap satu yang diberikan kepada rakyat diragut satu yang lain, contohnya masing-masing peluang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan kebebasan akademik.


Baru-baru ini kita dihidangi berita yang kian menjejaskan integriti kerajaan yang kononnya mahu mendaulatkan konsep demokrasi dan mempunyai keinginan untuk berjinak-jinak dengan prinsip kebebasan bersuara.  Tindakan aktivis-aktivis mahasiswa dari Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menurunkan bendera yang melayangkan wajah Najib Razak selama lima minit sebagai simbol tidak-puas hati mereka terhadap keengganan kerajaan memansuhkan Akta Universiti Kolej dan Universiti (AUKU) yang menyekat kebebasan akademik dan berpolitik.  Walaupun didepani dengan desakan aktivis-aktivis mahasiswa untuk memansuhkan AUKU yang semakin mengombak, kerajaan Najib Razak hanya mampu berdiam dan mendiamkan suara-suara protes.

Demokrasi siapa?


Menurut menteri pengajian tinggi Saifuddin Abdullah yang kononnya menyokong "kebebasan bersuara" dan konsep demokrasi, penurunan bendera UMNO bukan tindakan yang berdemokratik.  Ada pula yang berpendapat mahasiswa-mahasiswa terlibat bersikap kurang matang, kurang ajar, dan tidak menghormati harta-benda kerajaan, seolah-olah memecah masuk rumah dan menyusun-semula perabot.  Sasaran mahasiswa SMM - bendera yang bermukakan Najib Razak - secara tidak langsung menjadi objek yang suci.  Ia bukannya bendera negara atau parti, tidak dibakar atau diinjak-injak.  Namun yang demikian, penurunan bendera tersebut dilihat sebagai satu serangan terhadap ego seorang pemimpin yang pantang dicabar.


UMNO dan penganut-penganutnya tidak jauh berbeza daripada kerajaan tidak gentar menggunakan kekerasan - sama ada dalam bentuk fizikal mahupun retorikal - untuk menindas perjuangan hak-hak mahasiswa.  Di United Kingdom sepanjang tahun ini, kerajaan David Cameron menggunakan kuasa polis untuk "mengawal" pergerakan mahasiswa yang berdemonstrasi kerana kenaikan yuran tahunan universiti yang melambung tinggi.  Yang paling tragis pula, pembunuhan ratusan mahasiswa-mahasiswa yang berarak di Dataran Tiananmen secara aman mengutuk Parti Komunis China pada tahun 1989.  Ya, kerajaan Malaysia bukan satu-satunya kerajaan yang takut kepada kemarakan mahasiswa.  Sejarah gerakan mahasiswa telah menunjukkan bahawa kuasa dan pengaruh mahasiswa boleh menggulingkan kepimpinan yang represif; regim Suharto berjaya digulingkan atas desakan mahasiswa Indonesia pada tahun 1998.  Jika mahasiswa dan cendiakawan seperjuangan mampu mengguling kerajaan Suharto yang berkuasa selama 32 tahun - antara regim diktator yang paling lama di dunia - jelas menunjukkan bahawa mahasiswa Malaysia juga serba upaya.


Kerajaan Najib yang menidakkan hak mahasiswa untuk berpolitik menyelindungkan ketakutan mereka terhadap kuasa mahasiswa.  Universiti bukan sekadar kilang mencetak sijil tetapi tempat orang muda menuntut ilmu berfikir secara berdikari.  Kebanyakan mahasiswa yang mempunyai kesedaran politik pula bukan kuda mana-mana parti.  Kerajaan dan orang awam harus sedar bahawa arena dan istilah politik itu sendiri sangat terhad dan sempit maksudnya.  Politik bukan sekadar pertandingan populariti atau acara berlumba-lumba yang menjuarakan politikus yang dilantik - Tidak.

Hakikatnya, kuasa politik juga terletak di tangan pengundi, penyokong, dan pejuang agenda masing-masing yang sedikit sebanyak menentukan jaya dan gagalnya seorang politikus dan jatuhnya pengaruh kerajaan; dari sini kita kembali kepada asal-usul perkataan "demokrasi" dalam bahasa Yunani yang berasaskan "demos" yang bermaksud rakyat dan "kratos" bererti pemerintahan.
Sebagai mahasiswa yang bakal menapak ke alam universiti sebagai pensyarah dan penyelidik, kebebasan akademik bukan sahaja memberikan ruang dan peluang menyampaikan pendapat dan idea-idea yang berbeza dan kritis tentang keadaan politik semasa, tetapi juga menggalakkan mahasiswa untuk lebih bersuara tanpa ugutan dan kecaman.  Negara Malaysia sudah terlalu lama dikekangi budaya paternalistik, iaitu budaya (dan juga polisi) yang menyekat kebebasan atas nama ketentaraman dan kebajikan rakyat.  Budaya paternalisme inilah yang sebenarnya takut kepada konsep kebebasan bersuara dan demokrasi kerana ia melemahkan pengaruh seorang atas anggota-anggota rakyatnya.  Di alam universiti di mana penghuninya diberikan peluang untuk bersuara dan berfikir secara berdikari, kematangan minda akan dipupuk secara semulajadi.

Saya dapati bahawa reaksi pihak-pihak tertentu yang mengutuk dan mengugut tindakan mahasiswa yang anti-kekerasan berbaur ironi; perasaan marah yang melulu juga timbul daripada budaya kita yang anti-intelektual yang kuat menolak peluang berdialog secara rasional dan aman.  Budaya kita juga mengagungkan status yang tinggi, bermaksud status mahasiswa yang biasa dianggap rendah tarafnya sering diperlekehkan dan ditindas.

Oleh yang demikian, gerakan mahasiswa aktivis tidak akan mengakhiri protes mereka dengan penurunan simbolik bendera yang berwajah Najib Razak, tetapi akan terus memuncak sehingga pihak kerajaan menyerahkan diri kepada desakan-desakan mereka.

*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media



Sumber: Merdeka Review

Comments