Skip to main content

Mahu kilang sisa toksik Lynas dibina di belakang rumah anda?

Kesedaran aktivisme boleh lahir dari mana-mana ceruk. Selalunya kesedaran untuk beraktivisme ini muncul apabila sensitiviti kita dicuit, atau kepentingan kita didobrak anasir-anasir jahat. Ketika itu akan bangkit semacam satu semangat yang bikin gusar dan kecamuk dalam kepala. Pelan-pelan ia berbisik, “Lawan!”.

Kesedaran aktivisme, bagi saya, lahir dari menonton siri kartun televisyen “Captain Planet”. Siri ini mengisahkan tentang lima anak muda yang diberi cincin oleh dewi bumi. Lima cincin yang setiap satunya mewakili lima unsur berasingan, tanah, api, angin, air dan hati. Ya, kau tak salah baca. Unsur terakhir ialah hati. Cincin itu membolehkan si pemakainya berkomunikasi dengan haiwan. Lima cincin ini apabila digabungkan kuasanya, maka diserulah adiwira bergelar Captain Planet.

Adiwira pembela alam sekitar

Adiwira bertubuh sasa ini mempunyai satu tujuan: Membakulsampahkan sekalian kapitalis yang mahu membuat untung dari alam dan sekalian perosak alam sekitar.

Kesedaran dan pencerahan tentang ancaman para kapitalis dan manusia tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar adalah senjata ampuh membangkitkan semangat untuk beraktivisme. Maka suara kecil di dalam kepala mula berbisik, “Lawan!”

Ini ditambah dengan kata-kata semangat daripada mantan Presiden WWF-Malaysia, Allahyarham Tan Sri Khir Johari. Ada satu surat yang saya terima sewaktu sekolah rendah setelah kalah satu pertandingan mewarna yang memujuk supaya terus-terusan bersahabat dengan alam. Dilampirkan bersama surat itu, sekeping pelekat logo WWF.

Jadi semangat mempertahankan alam sekitar itu begitu membuak-buak. Jiran yang membakar sampah secara terbuka jadi penjenayah di mata aku. “Lawan!” kata hati kecil.

Nyawa bukan di tangan Lynas

Semalam, Kuantan meriah dengan manusia berpakaian hijau. Bagi yang tidak begitu menyokong, pastilah akan memujuk diri dengan mengatakan hanya beberapa ratus sahaja yang datang. ‘Himpunan Hijau tak dapat sambutan’, katanya. Padahal manusia belasan ribu bilangannya melimpah-limpah. Kuantan meriah dengan demokrasi dan suara rakyat yang melampaui tanda pangkah di kertas undi.

Yang berhimpun di Kuantan ini menuntut alam sekitar dipelihara. Menuntut supaya angan-angan kerajaan untuk menyimpan sisa radioaktif di kilang yang bertapak di Gebeng itu dibuangkan sahaja.  Yang berhimpun ini sedar dan tahu tentang apa yang terjadi di Bukit Merah. Kesedaran akan bahaya dan ancaman itu yang memujuk mereka untuk keluar berhimpun dan membantah. Kesedaran itu yang membisik di ceruk hati paling dalam , “Lawan!”

Mari kita merungkai sejarah yang dilupakan, jauh di Bukit Merah sana untuk memahami apa kerisauan rakyat yang tidak boleh sekadar dibendung dengan jaminan keselamatan.

Ada apa di Bukit Merah?

Kejadian di Bukit Merah, Perak tidak sangat diketahui umum. Kerana pertamanya pada ketika kejadian itu berlaku, internet belum jadi medium komunikasi utama. Twitter belum ada. Keduanya kerana penyelesaian diam-diam antara syarikat Mitsubishi Chemical yang bersetuju untuk membetulkan keadaan, walau pun tanpa arahan mahkamah untuk berbuat demikian.

Penduduk Bukit Merah, dengan sumber yang ada pada waktu itu berhubung dengan aktivis alam sekitar dari Jepun dan politisi dari sana yang kemudiannya berjaya memujuk syarikat yang tidak mahu menanggung malu itu untuk memberhentikan operasi loji nadir bumi itu pada tahun 1992, dan membelanjakan jutaan dolar untuk membersihkan segala yang tersisa.

Syarikat Mitsubishi Chemical juga berhasil mendapatkan penyelesaian luar mahkamah, dengan memberi sumbangan-sumbangan tertentu, namun tetap mengekalkan pendirian bahawa ia tidak bertanggungjawab atas semua kecacatan dan kesakitan yang menimpa penduduk Bukit Merah ekoran pencemaran radioaktif hasil operasi loji nadir bumi tersebut.

Untuk melupus sisa-sisa radioaktif di Bukit Merah, percaya atau tidak, harus dicantas puncak sebuah bukit tiga batu dari tapak asal, dan ditanam sisa-sisa itu di perut bukit tersebut, kemudian dikambus di bawah tanah liat dan granit sedalam 20 kaki.

Itu belum termasuk 80,000 tong sisa radioaktif yang perlu dipindahkan oleh manusia dengan bantuan robot (ya, robot) untuk membancuh sisa-sisa itu dengan ‘gypsum’ dan simen dan dikuburkan sekali di pusara puncak bukit itu. Begitu dramatis sekali pengakhiran sisa radioaktif.

Demikianlah laporan New York Times. Ia juga melaporkan tentang makcik Lai Kwan, 69 tahun yang berpindah ke Bukit Merah sekitar tahun 80-an untuk bekerja di loji tersebut. Sudah 29 tahun katanya beliau menjaga anak lelakinya yang lahir dengan kecacatan mental dan fizikal. Sewaktu mengandung, Lai Kwan bekerja di loji tersebut.

Beliau dan penduduk lainnya menyalahkan loji nadir bumi itu untuk segala bala yang menimpa mereka. Bagi makcik Lai Kwan, kerja di loji itu adalah peluang untuk mendapatkan duit lebih. Mereka bahkan tidak tahu apa bendanya yang dihasilkan di sana.

Hasil dieksport, najis toksik kekal di Malaysia

Seandainya tiada aral melintang untuk kerajaan, loji nadir bumi di Gebeng akan mula beroperasi sekitar bukan September. Lynas bakal mengimpot bijih nadir bumi dari Mount Weld di Australia untuk diproses di Gebeng. Produk yang terhasil akan diekspot ke luar negara, sementara sisa radioaktifnya akan kekal terbuang di Gebeng.
Bagaikan seekor raksasa, loji ini akan seterusnya menukar pekan Kuantan menjadi tempat paling tidak popular untuk dihuni. Yang mampu berpindah akan segera angkat bungkus dan meninggalkan mereka yang tidak dapat berbuat demikian; untuk kekal dalam ketakutan terdedah kepada radiasi.
Himpunan Hijau semalam adalah isyarat daripada rakyat kepada kerajaan supaya segera dihentikan kegilaan ini. Perhimpunan ribuan manusia berbilang kaum dan agama demi satu tujuan untuk menyelamatkan Malaysia daripada bahaya kerosakan alam sekitar seharusnya dipandang serius oleh pihak yang masih punya kuasa.

Bukan setakat ditolak tepi kerisauan itu dengan bermodalkan jaminan ‘selamat’ dan saranan berjumpa doktor jika terkena radiasi. Rakyat tidak sebodoh itu. Kata ‘Rakyat Didahulukan’, maka kenapa kali ini tidak diambil peduli kehendak mereka?

Masih ada manusia menyokong Lynas?

Tidakkah kerajaan dan penyokong pro-Lynas sedar akan bahaya yang mendatang? Yang beriya membuat provokasi di Pulau Pinang itu hujung pangkal juga tidak tahu. Belum dicerahkan barangkali.

Malaysia masih punya harapan untuk dinyahkan segala anasir yang hanya memandang untung laba tanpa peduli kesan kepada ekosistem dan keberlangsungan hidup masyarakat terbanyak. Walau di mana pun dibina kilang sisa toksid, tiada siapa dapat menjamin keselamatan nyawa manusia.

Barangkali mereka yang menyerang peserta perhimpunan aman Hijau di Pulau Pinang petang semalam mungkin berfikir berpuluh kali jika kilang Lynas mahu dibina, katakan, di Kampung Makam, Air Itam, Jelutong, Balik Pulau, Kepala Batas, Bayan Baru atau Bukit Mertajam.

Di Kuantan, entah berapa ribu rakyatnya sudah mendengar bisikan dari lubuk sanubari mereka. Seakan suara seorang anak comel yang merayu masa depannya tidak diperjudikan tangan-tangan kapitalis jahat dan politisi tamak.

Dengar tidak suara itu? Apa katanya?

“Lawan!” – Roketkini.com

Comments