Skip to main content

Ibu Dirang Teringat Ugutan Pencuri Kabel Terhadap Nenek Dirang

 Ingat aku takut nak berperang'

JOHOR BAHRU – Pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah yang mayatnya dibakar selepas dibunuh di sebuah rumah terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini Isnin lalu seolah-olah menjadi ‘kunci’ untuk ibunya mengingati beberapa kejadian yang menjadi penyebab kematian kanak-kanak itu.

BAPA kandung Nurul Nadirah (gambar kecil) menyiram air di atas pusara anaknya sambil diperhatikan Roselyn (dua dari kiri) dan Alan (kanan) di Masai, Johor Bahru semalam.
Roselyn Alan, 25, memberitahu, dia baru teringat salah seorang daripada tiga suspek yang pernah bertengkar dengan ibunya, Milnah Jul, 52, mengeluarkan ugutan selepas ditegur mengenai kegiatannya mencuri kabel elektrik.

Katanya, suspek giat mencuri kabel sejak mendiami rumah kosong yang terletak berhadapan dengan rumahnya di tingkat empat Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

“Saya pernah dengar suspek mengugut ibu berbunyi: ‘Siaplah engkau, ingat aku takut nak berperang’.

“Tak sangka pula mereka benar-benar maksudkannya dengan menculik dan membunuh Dirang (panggilan manja Nurul Nadirah),” rintih Roselyn yang masih bersedih.

Tambahnya, hatinya bertambah terkilan apabila Nurul Nadirah, 5, muncul dalam mimpinya malam semalam dan memberitahunya yang dia sudah okay sebelum memeluk dan menciumnya. Ketika itu Dirang muncul memakai seluar biru tanpa berbaju.

“Dalam mimpi itu, dia tanya emak cari saya? Saya kata ya... kenapa kau tidak balik dan dia kata dia sudah okay sebelum berlalu pergi,” cerita Roselyn. -kosmo


Bapa siram dengan tangan bergari

SERI ALAM: Jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh sebelum dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai di sini, dalam keadaan hujan renyai dan cuaca mendung pada jam 1.20 tengah hari, semalam.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan itu selepas bapa kandung Dirang, juga antara empat individu direman bagi membantu siasatan kes terbabit, menyiram air ke pusara anaknya dalam keadaan tangan bergari serta diawasi beberapa anggota polis.

Lelaki berusia 30-an itu hanya berkemeja-T putih, berkain pelikat serta berselipar, terus dibawa pergi polis sejurus pengebumian Dirang selesai.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, neneknya Milnah Jul, 52, datuknya, Alan Alip, 49, bapa tirinya, Lima Medang, 25, keluarga serta lebih 150 yang hadir.

Roselyn menitiskan air mata ketika talkin dibacakan imam kampung berkenaan, Abdul Rahman Ismail, manakala Alan yang sebak terduduk sejurus jenazah cucunya itu dimasukkan ke liang lahad.

Terdahulu, keluarga Dirang menuntut jenazahnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kira-kira pada jam 11.45 pagi selepas dimandi dan dikafankan pegawai Majlis Agama Islam Johor (Maij).

Turut hadir di HSA untuk menatap kali terakhir wajah Dirang ialah bapa kandungnya yang tiba dengan memakai baju lokap dan tangan bergari sambil dikawal tiga anggota polis.

Lelaki berkenaan dilihat tiba lebih awal, namun menunggu di dalam kenderaan polis sementara menanti giliran untuk menziarah jenazah anaknya itu.

Roselyn dan Milnah pula meluangkan masa kira-kira 20 minit di Unit Forensik HSA sebelum bapa kandung Dirang dibenar menatap buat kali terakhir jenazah anaknya itu.

Suasana pilu mula terasa apabila Milnah memeluk bekas menantunya itu ketika dia sampai di pintu masuk bangunan berkenaan, manakala Roselyn yang tidak dapat menahan kesedihan terpaksa ditenangkan saudaranya. Bapa kandung Dirang itu terus dibawa masuk ke dalam bangunan berkenaan sebelum keluar kira-kira 10 minit kemudian dalam keadaan sugul dan beredar bersama anggota polis yang mengiringinya.

Jenazah Dirang dibawa ke Masjid Nurhidayah, Jalan Tasek, Bandar Seri Alam, untuk disembahyangkan sebelum dihantar ke tanah perkuburan dengan van jenazah.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika ke kedai runcit di flat kediamannya untuk membeli mi segera dan telur.

Seminggu kemudian, satu rangka seorang dewasa ditemui dalam keadaan rentung di ladang kelapa sawit di Nusa Damai dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) dijalankan terhadapnya mendapati ia sepadan dengan DNA Roselyn. -hm



‘Mak, kau cari aku ke?’

PASIR GUDANG: “Malam tadi (kelmarin) Dirang muncul dalam mimpi, dia memeluk dan mencium saya sambil berkata: ‘Mak, kau cari aku ke?’

“Saya mengiakannya sebelum bertanya mengapa dia tidak balik dan Dirang menjawab: Jangan sedih lagi, aku di sini sudah ok,” kata Roselyn Alan, 25, ibu kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh sebelum dibakar, Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Dirang.

Roselyn yang ditemui di rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini semalam pada mulanya enggan ditemui kerana masih bersedih dengan kehilangan Dirang, namun akhirnya sudi berkongsi perasaannya selepas dipujuk.

Sebelum itu, dia bersama 150 orang menghadiri pengebumian jenazah Dirang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai, jam 1.20 tengah hari.

Menurut Roselyn, walaupun sedih dia tetap tabah menerima takdir kehilangan anak dalam keadaan cukup tragik.


“Saya memang sedih, namun sebagai orang Islam, saya reda pemergian Dirang. Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis dan jiran yang banyak membantu kami selama ini.

“Mungkin takdir Dirang begitu, walaupun dia pergi buat selama-lamanya, sekurang-kurangnya saya dapat melihat jenazahnya buat kali terakhir,” katanya.

Pada masa sama, Roselyn memaklumkan mereka sekeluarga mempertimbangkan berpindah ke tempat lain. “Saya sering teringat serta terbayang wajah dan keletah Dirang apatah lagi apabila menonton siri animasi kegemarannya, Upin dan Ipin di televisyen.

“Kami bercadang berpindah bagi melupakan semua kenangan di sini. Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan memandangkan suami belum mendapat tawaran kerja,” katanya.

Roselyn yang mengulangi harapan agar pembunuh Dirang menerima hukuman setimpal secepat mungkin berkeyakinan bekas suaminya tidak terbabit dengan kematian anak mereka.

“Saya harap pembunuh akan ke tali gantung. Selain itu, saya percaya bekas suami tiada kena mengena dalam pembunuhan Dirang kerana dia terlalu sayangkan anaknya apatah lagi kami berpisah cara baik,” katanya.

Menurut Roselyn, keluarganya juga mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin tiga hari berturut-turut bermula semalam.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit di flat berkenaan.

Hasil siasatan dan makulmat awam, polis kemudian menemui rangka manusia di dalam lubang di ladang kelapa sawit Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan terhadap rangka berkenaan mendapati ia sepadan DNA Roselyn.

Empat suspek membabitkan sepasang kekasih, rakan mereka serta bapa kandung Dirang masih ditahan reman oleh polis hingga esok bagi membantu siasatan.
 -hm
Credit to Greenboc

Comments