Skip to main content

GAMIS SERU MAHASISWA TURUN BERSIH 3.0


Kenyataan Rasmi

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru seluruh mahasiswa Malaysia untuk bersama-sama menyokong Duduk & Bantah BERSIH 3.0. GAMIS menyatakan sokongan penuh terhadap 8 tuntutan Bersih untuk mendesak kerajaan melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem pilihanraya di Malaysia. GAMIS mewajibkan seluruh ahlinya untuk bersama-sama hadir di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

GAMIS pada hari tersebut akan bersama-sama 84 NGO yang lain dan seluruh rakyat Malaysia di 41 buah bandaraya dan 14 negara akan berhimpun secara serentak untuk menyatakan solidariti bagi menutut pilihanraya yang lebih adil dan bersih.


Mahasiswa Mesti Turun

GAMIS melalui Presidennya, saudara Akram Ikrami Taib Azamuddeen, menyatakan mahasiswa selaku golongan terpelajar dan terdidik wajar bersama-sama BERSIH 3.0 sebagai menunjukkan solidariti dan kesungguhan untuk menolak sebarang ketidakadilan dan kepincangan dalam pelaksanaan pilihanraya di Malaysia.

Menurutnya lagi, walaupun 2 siri Himpunan BERSIH telah dibuat sebelum ini, kelihatan SPR dan Kerajaan Malaysia gagal menunjukkan komitmen untuk melakukan penambahbaikkan. Walaupun jawatankuasa khas ditubuhkan, 8 tuntutan yang antaranya membersihkan daftar pemilih dan akses media yang bebas dan adil belum ditepati seperti yang diharapkan. Tuntutan untuk menghapuskan rasuah dan politik kotor berkaitan dengan kesalahan pilihan raya juga tidak disentuh langsung oleh PSC.

Hadir dengan Kefahaman

Pengerusi Sigma, saudari Rohayu Rusli mengharapkan seluruh mahasiswa turun dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Katanya, “Kita tidak mahu mahasiswa dikatakan sebagai ‘golongan yang didoktrin’ dalam sebarang isu yang kita perjuangkan. Kita mesti hadir dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Saya menyeru seluruh mahasiswa untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan berakhlak.”

“Kita sedar bahawa pengamalan sistem demokrasi di Malaysia menjadikan pilihanraya sebagai wadah memilih pemimpin. Kita berpegang terhadap apa yang digariskan dalam Islam untuk memilih pemimpin yang adil, berintegriti dan punya kompetensi untuk memimpin negara. Sistem yang tidak telus bakal memberi kesan pada pemerintahan negara pada masa akan datang”, demikian kata saudari Farhana Omar , Timb. Ketua Penerangan GAMIS.

Pada 9 Julai tahun lepas, laungan gerakan BERSIH 2.0 untuk reformasi pilihan raya menarik lebih 150,000 rakyat Malaysia ke Kuala Lumpur sekalipun kerajaan mengharamkan dan mengenakan tindakan keras ke atas penggerak BERSIH 2.0 dan juga mahasiswa.

Global Bersih adalah respon rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara ke atas peristiwa bersejarah di dalam aktivisme masyarakat sivil tahun lepas, apabila rakyat Malaysia di luar negara berhimpun di 32 bandaraya dengan nama BERSIH 2.0.

Yang menggerakkan BERSIH 3.0 adalah peningkatan kuasa rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, terjamin oleh sistem pilihan raya yang demokratik, bebas korupsi dan sistem pilihan raya yang telus.

BERSIH 3.0 dijangka menarik ribuan mahasiswa untuk turut sama menyertai himpunan itu pada 28 April ini, jam 2 petang, di Dataran Merdeka.

GAMIS menyatakan sokongan padu kepada BERSIH 3.0, dan siap sedia memobilasi ahli untuk bersama-sama menjayakan DUDUK & BANTAH BERSIH 3.0.

Dikeluarkan oleh,
PENERANGAN GAMIS
GAMIS Inspirasi Anak Muda.

Comments