Skip to main content

Samsung diperintah bayar Apple RM3.15 bilion


Produk Apple iPad dan Galaxy Tab
Produk Apple iPad dan Galaxy Tab keluaran Samsung. - Foto ihsan Business Week
LOS ANGELES - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) memutuskan Samsung perlu membayar syarikat gergasi telekomunikasi Apple pampasan berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion) dalam kes saman harta intelektual.

Mahkamah mendapati beberapa produk keluaran Samsung telah melanggar aspek paten reka bentuk dan perisian iPhone Apple.

Bagaimanapun juri California memutuskan Samsung tidak perlu diberi sebarang pampasan dalam tuntutan balasnya bahawa Apple juga telah melanggar beberapa aspek paten.

"Ini kemenangan besar bagi Apple," kata profesor undang-undang Stanford, Mark Lemley yang dipetik CNN.

Susulan keputusan itu, nilai saham Apple meningkat kepada AS$12 sesaham.

Samsung pula menyifatkan keputusan itu satu kerugian besar kepada pengguna Amerika Syarikat (AS).

"Ia akan membawa kepada pilihan yang terbatas, inovasi (akan) merosot," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia menambah, adalah sesuatu yang malang apabila undang-undang paten dimanipulasi untuk memberi sesebuah syarikat hak monopoli.

Appel menuntut pampasan AS$2.7 bilion (RM8.1 bilion) daripada Samsung atas alasan telah menciplak reka bentuk iPad dan iPhone.

Samsung pula membuat tuntutan balas dengan menuntut AS$519 juta (RM1.56 bilion).

Comments