Skip to main content

Banglo Runtuh [Update]: Polis Sahkan Hanya Enam Mangsa Terlibat Dalam Runtuhan

Keadaan banglo yang dalam pengubahsuaian runtuh di Seksyen 7, Shah Alam, petang Khamis. Pix: mStar Online

SHAH ALAM: Polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini petang semalam hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia, dengan seorang daripadanya maut. 
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat. 
Dalam kejadian petang semalam, seorang buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony (seperti dalam papan kenyataan polis) maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu," katanya.

Beliau berkata pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.

Othman juga berkata kerja pembersihan di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam semalam.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Guna Kaedah Galian Untuk Cari Mangsa Runtuhan

Usaha menyelamatkan tiga lagi mangsa kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, yang sebelum ini menggunakan kren, terpaksa ditukar kepada kaedah galian dari bawah tanah. Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata kaedah itu terpaksa digunakan berikutan struktur konkrit yang runtuh terlalu berat.

Beliau berkata lokasi seorang daripada mangsa juga telah dikenal pasti dan suara dua lagi mangsa masih kedengaran.

"Berdasarkan maklumat awal, terdapat 18 pekerja binaan yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian tetapi hanya lapan yang terlibat dalam kejadian runtuhan itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Othman berkata sebanyak empat jentera bomba dengan 50 anggota terlibat dalam kerja menyelamat sejak kira-kira 5 petang semalam.

Turut terlibat dalam operasi menyelamat ialah pasukan polis, Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Pertahanan Awam, petugas Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya serta pasukan Smart.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dicatat pada papan kenyataan pihak berkuasa di lokasi kejadian, mangsa yang maut dikenali sebagai Otok Hamid Anthony manakala mereka yang cedera dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, kesemuanya berusia lingkungan 30-an.

Pengerusi SPR Antara Saksi Awal Kejadian Banglo Runtuh 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof antara saksi awal kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, yang mengorbankan satu nyawa.

Beliau sedang membaca surat khabar di rumahnya, yang terletak berhadapan banglo itu, apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah.

Ketika bergegas keluar, beliau melihat kepulan debu di kawasan banglo dua tingkat terbabit.

"Saya kemudian mendapati sebahagian struktur banglo yang sedang diubah suai itu roboh lalu saya hubungi pihak berkuasa.

"Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, seorang kontraktor binaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata beliau terdengar bunyi dentuman dan jeritan mangsa ketika sedang melakukan pengubahsuaian di banglo bersebelahan.

"Saya terus keluar dan bergegas ke tempat kejadian. Saya terkejut bila melihat bumbung rumah itu runtuh.

"Saya lihat ada dua mangsa keluar dari runtuhan terbabit tetapi rakan-rakannya masih terperangkap," katanya.

Seorang pekerja warga Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Salam, 22, pula berkata ketika kejadian, beliau sedang mengunci sebuah banglo lain yang sedang diubah suai kira-kira 10 meter dari lokasi runtuhan.

Beliau terdengar bunyi dentuman kuat dan nampak bahagian tambahan yang sedang dibina di banglo itu runtuh sepenuhnya.



- Bernama

Comments