Skip to main content

Piala Malaysia 2012: Siapa bakal JUARA?


SATHIANATHAN (dua dari kanan) gigih merencanakan strategi untuk skuad ATM menjelang final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.



BENAR kata orang, bola itu bulat dan apa jua keputusan boleh berlaku dalam bola sepak.Malam ini, Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi kemampuan di antara dua pasukan terhebat musim ini iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Kelantan.
Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan terakhir dalam saingan musim ini bagi membuktikan siapa sebenarnya yang berhak muncul juara dalam pentas final Piala Malaysia 2012.
Atas kertas, kekuatan kedua-dua pasukan dilihat cukup seimbang dan hanya pasukan terbaik sahaja mampu muncul juara kali ini, sekali gus melunaskan misi peribadi masing-masing.
Apa tidaknya, ATM yang muncul juara Liga Premier musim ini pastinya berazam mahu menamatkan kemarau selama 46 tahun selepas kali terakhir menjejak kaki di pentas final Piala Malaysia edisi 1966 (ketika itu mereka dikenali sebagai Tentera) sebelum ditewaskan Selangor 0-1 di Stadium Merdeka.
Kredibiliti Kelantan yang memegang status selaku juara Liga Super dan Piala FA musim ini juga tidak kurang hebat apabila mahu melengkapkan gelaran trebel musim ini, sesuatu yang kali terakhir berjaya dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.
Sedar atau tidak, mungkin ramai juga yang tidak sedar bahawa ini merupakan kali kedua pentas final Piala Malaysia mempertemukan juara Liga Super dan Liga Premier sejak saingan Liga Super diperkenalkan pada 2004.
Ketika final Piala Malaysia 2005, Selangor (juara Liga Premier) berjaya menjinakkan Perlis (juara Liga Super) 3-0 hasil jaringan hatrik penyerang import, Bambang Pamungkas sekali gus menggondol gelaran trebel pada tahun yang sama selepas turut mendakap trofi Piala FA sebelum itu.
Justeru, pertembungan malam ini pastinya cukup bermakna buat kedua-dua pasukan melakar sejarah sebagai juara baharu piala paling berprestij itu kali ini.
Pengendali kedua-dua pasukan, B. Sathianathan dan Bojan Hodak juga pastinya memiliki ramuan yang cukup istimewa malam ini supaya tidak pulang dengan tangan kosong.
Malam ini, skrip yang lebih kurang sama juga dilihat dikongsi oleh kedua-dua pasukan yang agak tempang dengan ketiadaan beberapa pemain utama gara-gara penggantungan kad kuning.
Tatkala ATM terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan mereka iaitu Irwan Fadhli Idrus, malapetaka dilihat lebih menyelubungi The Red Warriors yang pastinya merindui sentuhan Mohammed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad.
'Kereta kebal' ATM yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak, K. Reuben, Amirizwan Taj Tajuddin dan Mohd. Azmi Muslim juga pastinya 'tidak senang duduk' mengekang ancaman bertali-arus jentera serangan Sang Kijang yang diterajui Norshahrul Idlan Talaha dan Afiq Azmi.
Pada masa sama, 'meriam berkepala dua' ATM, Marlon Alex James dan Hairuddin Omar juga jelas menjadi mesin pencetak gol yang cukup efektif buat skuad kendalian Sathianathan sambil dibantu 'jeneral' di tengah padang seperti Zaquan Adha Abdul Razak, Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto.
Begitupun, kreativiti jentera tengah Kelantan juga tidak kurang hebat menerusi gandingan Indra Putra Mahayuddin, Nurul Azuan Roya, Shakir Shaari dan kapten, Mohd. Badri Mohd. Radzi juga pastinya 'tidak duduk diam' bagi menjelmakan asakan berbahaya 'membedil' kubu ATM.
Justeru, pasukan mana yang berhak muncul juara malam ini, sama-sama kita tunggu dan lihat.-Kosmo!

Comments