Skip to main content

Thailand Sabotaj Harimau Malaya


Padang macam sawah padi! Itu nada kecewa disuarakan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal selepas melihat padang latihan yang digunakan Harimau Malaya di Bangkok, semalam.

Penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menyediakan padang di Jaran Buraprat untuk skuad kendalian Datuk K Rajagobal menjalani latihan namun ia tidak seperti yang diharapkan.
Keadaan permukaan padang yang berlopak, rumput tebal boleh mengundang kecederaan kepada pemain dan lebih mengecewakan, padang awam itu tanpa tempat persalinan dan bilik air.

Bagi Subahan, beliau tidak menyangka AFF dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memberi layanan buruk kepada skuad kebangsaan yang dianggap boleh menjejaskan persiapan menghadapi Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF esok.

“Saya amat kecewa dengan padang latihan disediakan. Ketika Thailand datang ke Kuala Lumpur pada aksi pertama separuh akhir, kami beri layanan baik dengan menyediakan anggota polis dan stadium latihan tertutup tapi di sini mereka beri padang sawah kepada kita.

“Tindakan mereka langsung tiada semangat kesukanan, ini hanya merugikan masa latihan skuad kebangsaan di sini,” katanya. ~bm

Comments