Skip to main content

Kajian: Siswa UM, UKM Lebih Condong Pada Pakatan



Satu tinjauan oleh sekumpulan ahli akademik di kampus Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih ramai siswa cenderung memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Jumlah berkenaan lebih besar daripada bilangan siswa yang memilih BN, walau majoriti daripadanya menujukkan sikap pengundi atas pagar, menurut kajian oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) itu.

"Kuncinya (adalah) pengundi di atas pagar, kedua-dua parti sama ada BN atau Pakatan, mereka boleh mencari kemenangan (selesa) dengan mencari pengundi atas pagar luar pagar di kampus (ini)," kata Pengerusi YES Datuk Mohd Radzi Abd Latif.

Beliau (atas, bersongkok) juga percaya sikap pengundi di kampus di Lembah Kelang itu boleh mempengaruhi pola pengundian pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, golongan berkenaan akan pulang ke kampung dan menyebarkan maklumat dan membincangkan isu politik bersama warga kawasan masing-masing.

Kedua-dua kampus berkenaan merupakan kubu kuat kumpulan siswa pro-Mahasiswa dan menjadi tumpuan utama pemerhati dalam siri pilihan raya kampus yang lalu.

Kajian sikap ke atas 1,009 orang siswa UM itu menunjukkan, seramai 18.6 peratus daripada responden tersebut memilih Pakatan untuk kerusi parlimen, berbanding 8.7 peratus yang memilih BN.

Sebahagian besarnya, seramai 72.6 peratus memberi jawapan tidak pasti.

Di UKM pula sebanyak 30.1 peratus daripada 1,006 responden memilih Pakatan di peringkat parlimen, manakala 29.8 peratus menyokong BN,sementara 40.1 peratus menjawab tidak pasti.

Bagi peringkat DUN pula, seramai 22.4 peratus mahasiswa UM memilih calon Pakatan berbanding 8.7 peratus yang memilih BN, dan selebihnya tidak pasti.

Trend sama juga dilihat di kalangan pelajar UKM – seramai 31.6 peratus memilih Pakatan manakala 27.1 akan menyokong BN untuk kerusi DUN tersebut.

Majoriti daripada mahasiswa di kedua-dua universiti ini turut menjangkakan bahawa BN akan kekal sebagai kerajaan selepas pilihan raya umum tersebut.

Seramai 63 peratus daripada mahasiswa UM menjangkakan kemenangan BN, berbanding 37 peratus yang mahu melihat kemenangan Pakatan.

Di UKM, seramai 54.6 peratus daripadanya menjangkakan kemenangan BN, berbanding 45.4 peratus yang lain.

Kajian di UM dijalankan oleh pensyarah di fakulti ekonomi dan perniagaan kampus tersebut Muhammad Asli Mohd Ali manakala di UKM pula oleh pensyarah fakulti sains sosial dan kemanusiaan Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali.

Comments