Skip to main content

Pertratos masih milik Kelantan


Dimitrios Pertratos
Dimitrios Pertratos

DIMITRIOS Pertratos masih kekal pemain The Red Warriors hingga kontraknya berakhir November depan."

Itu komen Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas mengenai khabar angin penyerang import berusia 20 tahun itu bakal menjalani ujian di England tidak lama lagi.

Annuar bagaimana pun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sebagaimana dilaporkan sebuah media, Four Four Two Australia dalam laman sesawangnya beberapa hari lalu.

“Yang penting Dimitrios Pertratos adalah pemain Kelantan dan masih mempunyai kontrak rasmi bermain dengan kita. Kalau ada apa-apa (perkembangan) seperti yang disebutkan itu, tentu ada perbincangan melibatkan kedua-dua kelab.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri majlis kenduri perkahwinan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar di Kampung Cherang di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Annuar, jika benar khabar angin itu, beliau bersedia mengadakan rundingan secara baik mengenai penghijrahan bekas penyerang Sydney FC yang baru sahaja mengikat kontrak bersama Kelantan sejak sebulan lalu.

“Saya tak khuatir dengan kelab-kelab di luar negara apatah lagi di Eropah. Tak timbul soal curi pemain seperti dialami di negara kita. Jika ada (perpindahan pemain) kita akan aturkan dengan cara baik dan bukan melalui kenyataan di media,” katanya.

Pertratos dan seorang lagi pemain import dari Croatia, Lek Kcira didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dijadual bermula awal Mac nanti.

Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan penyerang skuad bawah 23 tahun Australia itu hampir pasti mendapat peluang menjalani ujian dengan salah sebuah kelab bola sepak di England.

Memetik kenyataan ejennya, James Hardy dalam laman au.fourfourtwo.com menjelaskan, wakil dari Kelantan telah berada di England untuk berunding mengenai masa depan pemain itu.

“Buat masa ini, kemungkinan besar Pertratos akan ke England pada bulan ini untuk menjalani ujian. Kelantan mempunyai hubungan yang baik di England dan secara tak langsung membuka peluang untuknya bermain di sana,” katanya

Comments