Skip to main content

Sharifah Zohra bukan lagi ahli KIMMA kata Presiden KIMMA



KUALA LUMPUR, 15 Jan — Pembicara kontroversi Sharifah Zohra Jabeen yang menyerang seorang mahasiswi secara terbuka dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan lagi ahli Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) kata presidennya Senator Datuk Syed Ibrahim Kader dan mendakwa tingkahlaku bekas timbalan Ketua Wanita KIMMA Kebangsaan tersebut sukar dikawal.
Pembicara tersebut adalah presiden sebuah pertubuhan tidak pernah didengari dikenali sebagai Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang dilihat rapat dengan BN, dilihat didalam video mencaci seorang mahasiswi yang bangkit menyatakan pendiriannya mengenai perhimpunan aman anjuran Bersih 2.0 dan pehimpunan menuntut pendidikan percuma - dengan mengeluarkan kenyataan "bila dalam program kami, kami benarkan anda bercakap" dan "apabila saya bercakap, anda dengar."
"Banyak panggilan telefon saya dapat yang bertanyakan perkara sama.
"Jadi, saya ingin tegaskan beliau sudah tidak bersama KIMMA lagi. Segala yang beliau lakukan dan katakan sekarang tidak lagi melibatkan kami dan bukan pendirian kami," tegas Syed Ibrahim yang tidak menyatakan secara terperinci sama ada Sharifah Zohra dibuang daripada parti atau sudah meletak jawatan.
Ekoran kontroversi video tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan rakannya Khairy Jamaluddin juga mempertahankan mangsa sikap biadap tersebut, Bawani dalam laman Twitter mereka.
Syed Ibrahim mengakui kelantangan dan sikap agresif Sharifah Zohra semasa berada dalam KIMMA dan telah menerima pelbagai laporan negatif mengenai individu tersebut.
"Ya, kami memang tahu tentang sikap liar dan agresif beliau (Sharifah Zohra) ini dan susah nak kawal beliau ini," tambah beliau lagi.
"Namun, beliau kini tidak berada dalam parti lagi."
Forum "Seiringkah mahasiswa dan politik?" diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah pada 8 Disember lepas, akan tetapi hanya heboh selepas video tersebut dimasukkan di Youtube minggu lalu.
Klip selama 24 minit itu memaparkan seorang ahli panelnya Sharifah Zohra Jabeen menegur Bawani, yang bangun bercakap di forum itu, membangkitkan kepada penganjur forum apa yang dia percaya pembentangan mereka yang tidak betul mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said.
Bawani juga menegaskan sejumlah negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti dan bertanya mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti dengan tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah Zohra turun dari pentas dan berdiri di depannya.
Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah Zohra itu dan terus bercakap.
Sharifah kemudian berkata "dengar" kira-kira 11 kali sebelum bertindak mengambil mikrofon, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan Bawani dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Nombor satu, ini adalah program kami dan kami dibenarkan untuk bercakap. Nombor dua, apabila saya bercakap, (anda) dengar," kata Sharifah Zohrakepada Bawani.
Tindakan Sharifah Zohra telah menerima banyak kritikan daripada rakyat Malaysia yang menonton klip video tersebut.

Comments