Skip to main content

Berpolitik Jangan Jadi Macai!




Istilah macai ni asalnya dari perkataan pencacai yang membawa maksud kuli batak yang akan melaksanakan apa saja suruhan dari orang atasan. Direbranding menjadi macai bagi merujuk kepada penyokong tegar sebuah parti yang aku rasa tak perlu disebut. Tugas macai adalah membela, mempertahan, mengampu dan menjilat pemimpin dan apa saja berkaitan dengan parti yang dianuti mereka walaupun hakikatnya sudah terang lagi berspotlight bahawa pihaknya salah.

Sebenarnya kedua belah pihak samada di pihak kerajaan atau pembangkang, masing-masing ada yang berperangai macai. Ini semua disebabkan budaya politik di Malaysia yang lebih bersifat taksub kepartian. Taksub kepartian, jika partinya salah, tetap dipandang partinya itu betul. Ada beza antara taksub kepartian dan menyokong kebenaran. Sepatutnya, jika parti yang disokong ada membuat kesilapan dan kesalahan, perlulah ditegur. Bukannya sengaja membutakan mata demi mempertahankan parti yang disokong dan mencari kesalahan orang lain pula bagi mengalih isu.

Disebabkan perangai macai, dunia politik menjadi kotor. Budaya fitnah dan membuka aib orang lain semata-mata ingin menjatuhkan lawan masing-masing, hujah-hujah dangkal yang disulami caci maki, peras ugut dan samseng, bercakaran sesama sendiri hanya kerana perbezaan fahaman politik. Ego mempertahan kebathilan dan mencari salah orang lain adalah perangai macai yang butakan kebenaran. Pihak yang benar difitnah, pihak yang tidak benar terus dilindungi malah disanjungi. Paling menyedihkan bila penasihat agama yang dilantik hanya jadi pengampu semata-mata mahu menjaga periuk nasi. Sekaligus membuatkan masyarakat yang jahil agama makin keliru.

Jadi, buka semula pintu hati dan minda yang tertutup dan jumud itu. Kalau pemimpin dan parti anda samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang yang terbukti salahnya, jangan bersikap bias tanpa hujah serta fakta yang kukuh. Jika terbukti dia salah, perlulah diakui, ditegur dan dibawa ke muka pengadilan. Hakikatnya, tidak ada parti yang sempurna sekalipun dikelilingi para ulama dan ostad ostazah. Apatah lagi yang dikelilingi kaki betina, kaki togak, kaki makan rasuah dan kaki busuk.

Keadilan, biar ia datang daripada pihak mana sekalipun, itulah yang menjadi keutamaan kita. Yang kita inginkan adalah kebenaran dan keadilan dalam berpolitik. Berpolitik jangan jadi macai. Politic is not about partisan. Pertimbangan utama kita adalah kebenaran dan keadilan sebagaimana Allah berfirman dalam surah Al-Maidah yang bermaksud :




“Dan janganlah sampai kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu menghalang kamu untuk berlaku adil kepada mereka. Berlaku adillah kerana itu lebih dekat dengan taqwa.” [Al-Maidah :8]



Petikan dari blog http://www.szlihin.com/

Comments