Skip to main content

Memecah Kematu Minda, Menuju Pilihan Raya


TADI makan tengah hari bersama teman yang bakal jadi calon DAP di penghujung paling Selatan benua Asia. Di Johor tentunya. Nama dan kaumnya juga masih belum boleh saya tuliskan, kerana belum sampai hari penamaan. Kami DAP memang disiplin dan menurut peraturan. Bendera pun belum boleh pacak.

Sambil kami makan nasi goreng dan bercerita tentang makanan laut di Tanjung Piai yang melimpah ruah, keropok lekor yang disalut tepung dan roti canai cicah sambal tumis, beliau berkisah tentang pengundi Tanjung Piai yang ditemuinya, dan bagaimana respon mereka terhadap rayuan undinya.

Menurut beliau, ada seorang makcik yang tanpa banyak dalih terus menjawab dengan lidah Jawa yang fasih, mafhumnya, ‘Biarlah aku susah, miskin, asalkan UMNO menang.’

Kawan saya itu hela nafas panjang. Saya sendiri menepuk dahi. Apa ini? Apakah jampi serapah yang sudah di’mandrem’ kepada orang Johor sehingga sanggup dan rela kekal dalam keadaan susah asalkan UMNO berkuasa. Eh makcik tahu tak keluarga Ketua Wanita UMNO itu pinjam duit kerajaan untuk ternak lembu tapi penyudahnya beli kondominium, kereta mewah dan buat modal buka restoran mahal?

Yang makcik nak rela hidup miskin ni kenapa?

Hilang akal?
Seperti makcik di Tanjung Piai itu, saya juga pasti bahawa populasi manusia yang sedemikian turut wujud di serata ceruk negara ini. Antaranya yang sedikit berani akan menunggang motosikal menghadiri ceramah Pakatan Rakyat dan timbulkan kekacauan. Menjerit dari tepi jalan demi upah mudah 30 ringgit.
Bila digertak jemput bercakap menggantikan penceramah Pakatan, diam pula. Menggelabah larikan diri.

Mentaliti sebegini adalah amat menghairankan. Penyakit apa ini? Sudah hilang ke mana akal anda? Eh adik yang buat bising dengan motor tu, sebelum 30 ringgit tu masuk ke tangan kau; berapa ribu ringgit ketua pemuda kawasan kau sudah ambil? Kau tahu?

Itu belum dikira spesis yang kerjanya baling batu, telur, kayu dan tunjuk jari tengah kepada penyokong Rakyat dalam siri ceramah di seluruh negara. Spesis ini lain pula penyakitnya. Sakit yang sebegini ubatnya juga tiada.

Keadaan hilang akal yang kedapatan pada sebahagian besar pendokong United Malays National Organisation ini tidak lain adalah disebabkan oleh projek pembodohan yang direncanakan oleh pihak pemerintah supaya parti pemerintah itu tidak kehabisan penyembah dan balaci untuk dijadikan tapak sokongan, serta pencacai untuk digunakan bagi menyempurnakan kerja jahat mereka.

Kembali berfikir secara waras
Saya terbaca suatu tulisan di laman Facebook yang bertujuan menimbulkan kekeliruan umat Melayu Johor supaya takut dan risau dan akhirnya mengekalkan United Malays National Organisation di Johor sampai bila-bila.

Dengan menggunakan gambar Paduka Seri Sultan Johor, tulisan yang disertakan di bawah gambar mengajak umat Melayu Johor supaya mengekalkan kekuasaan BN di Johor, antara lain alasannya termasuk kerana DAP ini didakwa parti yang tamak dan mahu monopoli kerusi, dan kononnya Selangor bukanlah ditadbir Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi oleh orang DAP.

Sudahlah cuba mengapi-apikan sesama kaum, guna pula gambar Sultan sendiri, dan membelakangi idea perpaduan 1Malaysia yang dibawa presidennya.

Apa yang lebih kelakar ialah dakwaan kononnya DAP mahu ‘berkuasa’ di Johor bagi menjaga kepentingan ekonomi Singapura; kerana dakwanya PAP Singapura itu ialah ‘ayah’ kepada DAP. Ini memperlihatkan keadaan mental jurukempen UMNO BN yang rosak dan mengandaikan bahawa pasaran pengundi di Johor itu bodoh belaka dan tidak boleh berfikir dengan baik.

Pastinya orang Johor boleh berfikir dan tahu bahawa PAP di Singapura samalah keadaannya dengan BN di Malaysia, menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara. Pasti juga orang Johor sudah pernah ke Pulau Pinang dan menyedari bahawa azan masih dilaungkan seperti biasa. Malah bukan itu sahaja, kerajaan ‘kafir’ DAP itulah yang menambah peruntukan untuk hal ehwal Islam sambil menggalakkan supaya setiap isi rumah Pulau Pinang mempunyai seorang penghafaz Al-Quran.

Melayu Johor perlu sekali lagi memecahkan kematu minda yang dipaksa ke atas mereka dan melihat jauh ke hadapan, menolak korupsi dan politik perkauman.

Jika MCA boleh disokong, kenapa pula mahu takut dengan DAP?
Persatuan Cina Malaysia (MCA) baru-baru ini mempertahankan pemilihan ‘panda’ sebagai maskot partinya sebagai tanda hubungan baik Malaysia dengan Negara China; yang dia barangkali lupa adalah sebuah negara komunis.

Panda tidak wujud di Malaysia. Kecuali di zoo.

Kenapa MCA memaksakan penggunaan panda yang bukan haiwan negara ini? Kerana sangkanya panda itu comel dan boleh menarik perhatian pengundi. Melayu Johor, dan Melayu di negeri-negeri lain turut termakan dengan kecomelan ini barangkali, sehingga tidak pula berani untuk melabel MCA sebagai sebuah parti Cina dan sebuah parti kafir. Bahkan tidak sedar pun bahawa kerusi Parlimen Tanjung Piai disandang oleh wakil MCA.

Hal ini tidak pula diajak berfikir oleh UMNO.

Bahkan MCA sendiri pun pastinya tepuk dahi melihat perangai politik perkauman yang dimainkan oleh UMNO terhadap orang Melayu sehinggakan mudah sekali ia cuba memperbodohkan kita dengan maskot pandanya itu.

Melayu Johor, dan Melayu yang lain-lainnya harus berfikir lebih jauh dari setakat kemakmuran, kestabilan yang kosmetik semata-mata. Di sebalik kemakmuran, hutang negara menggunung tinggi, hutang peribadi anda sendiri tak terbayar. Di sebalik kestabilan, ada pihak yang mahu bakar kitab suci agama lain, dan mencerca agama jiran tetangga kita semua; menginjak-injak konsep 1Malaysia yang hanya sekadar laungan kosong; sambil macainya membakar semangat perkauman.

Inilah dia Barisan Nasional yang anda mahu pertahankan. Korupsi. Perkauman. Politik samseng. Penipuan. Fitnah dan putar belit.

Ini yang anda mahu kekalkan? – Roketkini.com

Comments