Skip to main content

Pertindihan Calon: Ini pesanan (amaran) dari seorang penyokong Pakatan Rakyat



Isu pertindihan calon PAS dan PKR di beberapa kerusi selepas tamat tempoh penamaan calon semalam menjadi buah mulut ramai penyokong-penyokong PKR dan juga PAS di kebanyakkan bilik gerakan pilihanraya semalam.

Antara kerusi yang berlaku pertembungan tersebut adalah Parlimen Labuan, DUN Sungai Aceh, DUN Kota Damansara, DUN Bukit Besi, DUN Kota Putera, DUN Seberang Takir dan DUN Panti.

Ramai yang melahirkan kekecewaan dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku ini dan mempersoalkan kenapa perkara ini boleh berlaku?

Bagaimanapun penyokong tegar baik dari PKR mahupun PAS tetap tidak berubah sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat..

Tetapi ianya memberi kesan terhadap kepercayaan oleh ramai individu yang baru mula menyokong Pakatan Rakyat..


Ini antaranya...

Assalamualaikum,

Saya ingin meluahkan kebimbangan yang amat sangat yang sedang terjadi sekarang iaitu pertembungan antara PAS dan PKR di beberapa kerusi yang sedang dipertandingkan.

Di sini ingin saya terangkan bahawasanya apa yang saya rasakan ini turut dikongsi oleh beberapa rakan saya yang menyebelahi PR dan amat-amat dikhuatiri ianya juga turut dirasai oleh rakan penyokong PR yang lain.

Secara jujurnya, saya tidak menonton atau membaca secara tetap media arus perdana. Selama ini sumber yang kami perolehi berkaitan hal ehwal politik Malaysia hampir 90% adalah bersumberkan internet. Justeru boleh dikatakan saya mempunyai pengetahuan yang agak terkehadapan berbanding sesetengah rakan yang tiada kemudahan tersebut.

Walaupun dahulu saya dan salasilah keturunan saya yang berasal daripada Johor adalah penyokong tegar UMNO namun kini kami dah beralih kepada PR disebabkan kami percaya bahawasanya perjuangan PR adalah demi Rakyat dan bukan berteraskan kuasa semata-mata.
Bermula dari 2008 hinggalah kini kami meletakkan kepercayaan kepada PR. Namun sokongan kami tidaklah kami utarakan secara terangan dan tidak juga terlibat dalam apa-apa aktiviti yang dijalankan PR. Namun yang pasti kami semua amat bencikan BN.

Disebabkan itu apa yang berlaku di beberapa kerusi seperti di atas memberikan impak yang -amat besar terhadap kepercayaan kami kepada PR.

Tragedi tersebut menyebabkan keyakinan kami kepada PR mula terhakis. Semangat kami untuk balik ke kampung mengundi mula luntur. Semangat untuk menumbangkan BN juga sudah mula hilang apinya.
Dalam kepala kami hanya persoalan adakah PR juga punya sifat tamak kuasa seperti BN??? Akal kami masih rasional untuk menilai.

Maksudnya tiada mana-mana parti yang maksum. Namun begitu, perebutan kerusi sesama parti yang duduk sebumbung amat-amat tidak boleh diterima akal kami. Kerana bagi kami di situlah sebenarnya benih yang bakal menunjukkan hala tuju parti.
Pembahagian kerusi kelihatan mudah walaupun tidak mudah. Di sinilah seharusnya diwujudkan sikap bertolak-ansur, wasatiah, menghormati dan persepakatan dalam menentukan hala tuju PR.

Jika sebelum ini PR lebih dikenali dengan pendekatan gerilanya, tetapi dalam memerintah negara, di sinilah permulaannya.
Justeru, jika di garis permulaan ini pun sudah tersandung, maka tiada jaminan PR tidak akan tempang di pertengahan jalan.
Apa yang ingin disampaikan kepada tuan adalah kini saya dan rakan-rakan lain hampir pasti bersepakat untuk tidak mengundi di kawasan masing-masing. Ini disebabkan perasaan kecewa kami yang tidak dapat dibendung mengenangkan kepercayaan kami yang seperti telah dihinjak oleh PR.
Apalagi mengenangkan selama ini penyokong PR yang TIDAK BERGAJI bersusah payah menahan serangan pihak lawan yang adakalanya hingga ke tahap yang tidak masuk akal, namun akhirnya PR terjahanam disebabkan oleh tindakan mereka sendiri... DIULANGI..OLEH TINDAKAN PR SENDIRI!!!

Apa yang diharapkan pihak PR dapat selesaikan perkara BODOH ini dengan segera. Saya percaya sekiranya saya dan rakan-rakan terdekat, telah mempunyai perasaan yang sebegini, adalah tidak mustahil sekiranya rakan-rakan PR diluar sana juga turut sama berkongsi dengan apa yang kami rasakan..

Kami bukan membelot, tetapi perasaan dikhianati oleh yang dipercayai adalah jauh lebih mendalam lukanya berbanding semua fitnah dan tuduhan ynag pernah dilemparkan oleh puak UMNO & BN...Sekian.

Wassalam

Yang benar,
Abdul Halim bin Rasali

*E mail ini tidak perlu disiarkan tetapi perlu di ambil tindakan

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2013/04/pertindihan-calon-ini-pesanan-amaran.html

Comments