Skip to main content

SPR tetapkan 5 Mei tarikh mengundi, 20 April penamaan calon bagi PRU13



PUTRAJAYA, 10 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Ahad, 5 Mei 2013.
Badan pengendali pilihan raya itu juga menetapkan Sabtu, 20 April 2013,  sebagai  tarikh penamaan calon dan 30 April untuk pengundi awal, dan menjadikan tempoh kempen untuk parti politik sebanyak 14 hari.
"SPR menetapkan penamaan calon pada 20 April, tarikh pengundi awal pada 30 April, dan tarikh mengundi pada 5 Mei 2012," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini.
Jelasnya lagi, Pilihan Raya 2013 kali ini juga menggunakan peruntukan sebanyak RM400 juta, yang mana menurutnya jumlah perbelanjaan tertinggi setakat ini.
"Tapi kita tidak pasti jika Pilihan Raya ke-14 akan lagi tinggi, kita tak tahu," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 April lepas, genap empat tahun perdana menteri keenam itu menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Bagi tujuan itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga telah melantik 222 pegawai pengurus, dan 1088 penolong pegawai untuk tujuan memantau tempoh rasmi berkempen.
"Daftar pemilih yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2011, suku tahun pertama, kedua, ketiga, keempat 2012 yag dinyatakan dalam notis pewartaan pada 11 April 2013," kata Abdul Aziz.
Sejumlah 13.3 juta pemilih berdaftar akan membuang undi dalam pilihan raya kali ini.
"SPR juga telah menubuhkan 379 pegawai penguatkuasa yang juga merupakan ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya," tambahnya.
Bagi menjalankan PRU 13, SPR juga jelasnya telah memperuntukkan 8,789 pusat mengundi, dan 26, 219 tempat dan saluran mengundi.
"Bagi pengundi awal, kami telah menetapkan 544 pusat mengundi awal dan 842 saluran mengundi," katanya..
Kedua-dua parti politik di negara ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) akan bertarung untuk merebut sebanyak 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN.
Pilihan Raya 2013 dijangkakan paling sengit dalam sejarah walaupun BN seperti diramalkan oleh ramai pihak akan terus menerajui negara selepas itu.
Walau bagaimanapun, PR tidak mustahil untuk membuat kejutan kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.

Comments