Skip to main content

Hentikan penganiayaan politik, bebaskan Adam Adli segera


(Kenyataan bersama pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat)
Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat hari ini bersama untuk mengecam tindakan Barisan Nasional yang menyalahguna kuasa pihak polis dengan melakukan penganiayaan politik (political persecution) ke atas Adam Adli serta menuntut supaya Adam Adli dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat.
#BebaskanAdamAdliPihak polis pada 18 Mei telah menahan Adam Adli berdasarkan Seksyen 4 dalam Akta Hasutan dan pada hari 19 Mei aktivis mahasiswa tersebut sekali lagi ditahan mengikut Seksyen 124(B) Kanun Keseksaan yang menyabitkan kesalahan terhadap sesiapa yang “menjejaskan demokrasi berparlimen”.
Malah, polis juga telah menggeledah pejabat dan kereta Adam Adli untuk kononnya, mencari bukti kes. Tindakan-tindakan Barisan Nasional berjumlah kepada suatu penindasan terhadap Mahasiswa dan sekali lagi menjadi bahan lawak kepada negara-negara demokrasi di seluruh pelusuk dunia.
Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat Malaysia untuk bersuara, berhimpun serta berpersatuan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara ini dan harus dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia.
Tindakan polis yang menangkap Adam Adli tanpa sebarang sebab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia dalam menggunakanhak-hak perlembagaan mereka. Adam Adli yang berucap dalam ceramah “13 Mei – Hari Bangsa Malaysia, Selamatkan Demokrasi!” hanya memberikan pandangan yang munasabah dan berpatutan dengan menyeru rakyat Malaysia berhimpun untuk memprotes pilihan raya yang kotor.
Seruan beliau tidak melampuai hak-hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tidak berunsur hasutan dan tidak mempunyai motif-motif untuk menjejaskan demokrasi berparlimen kerana kebebasan berhimpun adalah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Akta Hasutan yang digunakan untuk menahan Adam Adli jelasnya melanggari hak asasi manusia dan tidak menghormati prinsip perlembagaan khususnya kebebasan untuk bersuara.
Akta sedemikian patut dihapuskan dan tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi rakyat biasa. Kredibiliti Najib sekali lagi dipersoalkan kerana beliau pernah menyarankan untuk menghapuskan akta ini pada tahun 2012. Ini menunjukkan bahawa Najib hanya bersandiwara dan tidak mempunyai niat politik untuk menghapuskan undang-undang yang langsung tidak mematuhi semangat ketertinggian perlembagaan.

Janji Najib bukan sahaja tidak ditepati, malah dimungkiri oleh beliau sendiri juga. Sebenarnya tindakan undang-undang harus diambil terhadap individu yang membakar sentimen perkauman seperti Ibrahim Ali yang kononnya ingin membakar kitab Injil, Zulkifli Noordin yang mencemur penganut Hindu ataupun bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah yang mengeluarkan hujahan orang Cina akan dibalas dendam.
Pihak polis menggunakan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan untuk menahan Adam Adli bahawa beliau telah menjejaskan demokrasi berparlimen. Sesungguhnya Barisan Nasional adalah pihak yang telah menjejaskan demokrasi berparlimen dan bukannya Adam Adli.
Barisan Nasional telah menghapuskan nilai demokrasi di negara ini dan terus memerintah tanpa berasa segan dengan sokongan yang tidak melebihi 50% di seluruh Malaysia. Selama ini kerajaan Barisan Nasional telah menyalahgunakan peraturan mesyuarat parlimen yang berat sebelah untuk menghalang wakil rakyat Pakatan Rakyat daripada bersuara demi rakyat.
Malah pada tahun 2009, BN telah merampas kerajaan negeri Perak tanpa menghormati kehendak rakyat Perak dan mengangkat Speaker Perak keluar dari dewan undangan negeri secara terang-terangan. Itulah bukti-bukti “menjejaskan demokrasi berparlimen”.
Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat ingin bertanyakan Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Belia dan Sukan yang baru mengenai pendiriannya dalam isu ini kerana Khairy pernah menyatakan bahawa  beliau akan memastikan suara orang muda didengari dalam Kabinet.
Mesej yang disampaikan oleh Adam Adli mengenai keputusan pilihan raya yang kotor merupakan suara orang muda yang harus diberikan perhatian oleh kerajaan tanpa berlengah dan tanpa berdalih-dalih lagi. Khairy harus mempertahankan dan membela hak perlembagaan Adam Adli sekiranya beliau memang berniat untuk memenuhi aspirasi anak muda.
Kerajaan BN nampaknya sudah mula bimbang & takut akan ‘tsunami rakyat’ yang menentang keputusan pilihan raya ke-13 yang nyatanya kotor dan tidak adil. BN yang semakin resah dan mula untuk mengambil tindakan keras terhadap rakyat biasa seperti mahasiswa yang hanya menyatakan pandangan & pendirian mereka. BN harus diingatkan bahawa bukan sahaja Adam Adli seorang sahaja yang menentang pilihan raya yang kotor, malah beliau akan disokong oleh rakyat jelata yang menginginkan pilihan raya yang bersih dan adil.
Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat menyeru supaya BN menghentikan segala taktik dan tindakan kotor yang menindas rakyat dan membebaskan Adam Adli yang hanya melaksanakan haknya untuk bersuara. BN diingatkan untuk menepati janjinya dengan menghapuskan Akta Hasutan & kesemua akta zalim yg sedia ada. Hak perlembagaan rakyat harus dibela dan bukannya dizalimi.
Gelombang hitam yang membanjiri sewaktu Himpunan Suara Keramat yang diadakan di seluruh negara telah membuktikan rakyat telah bangkit untuk menolak BN yang memenangi pilihan raya dengan cara yang kotor dan menjijikkan. Selagi pilihan raya yang bersih dan adil tidak dikembalikan kepada rakyat, maka lebih banyak Adam Adli akan bangkit dan lawan tetap lawan demi negara Malaysia!
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ahli Parlimen Temerloh)
Ketua Pemuda Sosialis DAP
Teo Kok Seong (Ahli Parlimen Rasah)
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ahli Parlimen Bukit Katil)

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment

Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-