Skip to main content

Menyamar Sultan Melaka dan pergi ke majlis jamuan hari raya pula




BARU-BARU ini ‘Sultan Melaka’, Raja Noor Jan Shah Raja Tuan Shah hadir dalam jamuan Hari Raya Aidil Fitri bersama-sama anak yatim di Kelab Cinta Sayang, Kedah.

Lama tak dengar cerita beliau…tetapi nampaknya ‘gah’ sebagai seorang ‘Sultan’ terus dibawanya hingga ke hari ini.

Dilihat berpakaian Diraja berwarna kuning, sedondong dengan ‘permaisurinya’, Raja Noor Jan menjadi tumpuan ramai di majlis tersebut.

Raja Noor Jan mula mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka yang ke-44 pada 2005.

“Jika saya bukan Sultan sebenar, saya tidak akan buat dakwaan ini,” kata Raja Noor Jan yang mengaku dirinya keturunan Sultan Abdullah Muhammad Shah yang memerintah Perak dari 1851 hingga 1857 tidak lama dulu.

“Kami sentiasa berbangga dengan sejarah kami, era kegemilangan Melaka. Tetapi ia tidak diendahkan,” tambahnya.

Kesultanan Perak diwujudkan pada abad ke-16 selepas kejatuhan Melaka, oleh anak Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka yang terakhir.

Sejak penjajahan Portugis pada 1511, Melaka menjadi sebuah kota pelabuhan yang tidak diperintah oleh sultan tetapi negeri lain yang diketuai wakil Yang di-Pertuan Agong atau dikenali sebagai Gabenor.

Bekas menteri besar Pahang Tun Khalil Yaakob kini adalah Yang Dipertua Negeri Melaka.

“Saya telah menjadi Sultan tetapi tidak dibayar gaji, mungkin mereka membisu kerana enggan membayar saya,” kata Raja Noor Jan.

“Jadi saya tidak mahu tampil. Bila saya ada wang baru saya akan membuat beberapa perancangan. Saya telah menggunakan wang sendiri,” kata belia dalam satu sidang akhbar beberapa tahun lalu.

Raja Noor Jan mendakwa menjadi ahli perniagaan tetapi menolak untuk memberitahu secara terperinci mengenai kerjanya.

Polis sebelum ini pernah menyita kereta Rolls Royce miliknya yang mempunyai lambang Sultan Melaka pada satu program perniagaan di Serdang.

Polis berkata kereta tersebut telah disewa dan lambang Sultan Melaka digunakan untuk meyakinkan pelabur asing.

“Kereta itu digunakan untuk ke program tersebut. Mereka mahu satu sambutan meriah kepada Sultan Melaka, apa salahnya? katanya ketika ditanya mengenai keretanya.

Comments

Post a Comment

Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-