
Kemahiran membaca kitab suci agama Islam itu bukan hanya diwajibkan kepada calon yang ingin bertanding kerusi Gabenor Aceh semata-mata.
Sebaliknya, ujian sama perlu dilalui oleh bakal calon datuk bandar atau timbalan kerusi berkenaan sejak pengenalan undang-undang syariah di wilayah berkenaan pada tahun 2003.
“Ini merupakan kali ketiga kami melaksanakan ujian membaca Al-Quran kepada bakal calon sejak kami membuka pendaftaran pilihan raya di Aceh,” kata jurucakap suruhanjaya pilihan raya Aceh, Akmal Abzal.
Kesemua pasangan calon Gabenor dan Timbalan Gabenor yang melalui ujian berkenaan di Banda Aceh pada Selasa lalu ialah Zaini Abdulah dan Muzakir Manaf, pasangan Fakhrulsyah Mega dan Zulfinal serta Hendra Fadli dan Yuli Zuardi Rais.
Ujian membaca Al-Quran itu dikendalikan oleh suruhanjaya pilihan raya wilayah berkenaan dengan kerjasama daripada Perhimpunan Ulama, Agensi Perhubungan Agama serta Yayasan Pembangunan Al-Quran.
Menurut Akmal, semua calon yang melalui ujian itu harus mencapai markah sebanyak 50 sebelum layak bertanding pada pilihan raya.
Pada ujian kelayakan itu yang turut dibuka kepada orang ramai untuk melihatnya, setiap calon diwajibkan membaca tiga daripada 114 surah yang terdapat dalam kita suci itu.
“Seandainya seorang calon itu seorang muslim sejati, membaca Al-Quran bukan masalah besar buat mereka,” kata Naimah, seorang penduduk dari Keutapang, Aceh Besar.
Menurut Naimah, kemahiran membaca Al-Quran merupakan satu kemestian bagi mana-mana individu yang mahu memimpin Aceh. – UTUSAN
Comments
Post a Comment
Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-