Skip to main content

SMART tidak selesai sepenuhnya isu banjir


Sistem reka bentuk Lebuhraya Smart yang dibina sejak lima tahun lepas hanya dapat menyelesaikan 45 peratus masalah banjir besar di sekitar Kuala Lumpur.Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata Smart hanya berfungsi mengalih lebihan air di sekitar kawasan liputan Sungai Klang dan Sungai Ampang daripada memasuki pusat bandar.
Laluan diliputinya termasuk Masjid Jamek, Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Dataran Merdeka, Dang Wangi, Leboh Pasar, Pasar Seni, Dayabumi, Jalan Petaling serta kawasan segi tiga emas, Sungai Wang, Bukit Bintang, KLCC dan Pavilion.
Ketika ditemui pada Rumah Terbuka Smart di sini hari ini, beliau berkata bagi kawasan luar dari liputan Smart, banjir diselesaikan oleh beberapa projek lain antaranya Kolam Takungan Batu Jinjang.
Sepanjang tahun ini, katanya, Smart ditutup sebanyak dua kali iaitu pada Mac dan Mei bagi mengelak banjir.

“Walaupun Kuala Lumpur menghadapi kadar hujan yang tinggi, Smart masih boleh menampung dan membuat pengalihan air ke Sungai Kerayong,” katanya.
Mengulas dakwaan terowong Smart tidak dapat berfungsi dengan baik dalam beberapa kejadian banjir besar di Kuala Lumpur pada Mac dan Mei lepas, beliau berkata kejadian banjir besar yang melanda Ampang, Bukit Belacan dan Hulu Langat serta Bandar Tun Razak pada Mac dan Mei lepas adalah disebabkan kadar taburan hujan terlalu tinggi.

Comments