Skip to main content

Malaysia, Indonesia mahu bina terowong RM15b

  • Malaysia, Indonesia mahu bina terowong RM15b
  • Tengku Dahril (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Azlan pada majlis berkenaan, semalam.
 1 / 1 
MALAYSIA dan Indonesia bakal menjalinkan kerjasama dalam membangunkan projek pembinaan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Indonesia.

Projek itu masih dalam peringkat awal kajian antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Yayasan Amanah Pelalawan di Indonesia.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM Prof Dr Azlan Abdul Rahman berkata, projek itu disasarkan menelan kos RM15 bilion hanya akan dimulakan sebaik mendapat persetujuan kedua-dua negara.

“UTM akan jadi pembantu dan pemangkin untuk jayakan kolaborasi ini. Apa yang menariknya, ia akan memudahkan perjalanan dari Malaysia ke Indonesia. Projek ini berpotensi dan kita sedang dalam peringkat mengkajinya lagi.

“Oleh itu, kita akan buat kajian bersama untuk lihat bagaimana pembangunan ini dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara UTM dan Yayasan Amanah Pelalawan di Skudai, Johor, semalam.

Pada majlis berkenaan UTM diwakili Azlan manakala Yayasan Amanah Pelalawan, Indonesia diwakili Ketuanya Prof Dr Tengku Dahril.

Hadir sama, Dekan Penyelidikan Pembinaan Penyelidikan Bersekutu UTM Profesor Dr Muhd Ruzaimi Abd Majid dan Ketua Daerah Pulalawan H M Harris.

Sementara itu, mengulas perjanjian itu, Azlan berkata, ia meliputi skop seperti pendidikan, penyelidikan, pengurusan, pembangunan dan komersialisasi yang diharap dapat menghubungkan kerjasama dan persetujuan pada masa akan datang.

“Berdasarkan kepada perjanjian ini, pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk penyelidikan bersama dalam minyak kelapa sawit, tenaga (gas dan minyak), penyelidikan telekomunikasi dan infrastruktur teknologi maklumat, kenderaan, kertas dan pulpa.

“Selain itu, pertukaran pensyarah atau profesor pelawat dan lawatan daripada staf pentadbiran juga akan dilakukan, di samping pembangunan kendiri dari segi latihan serta melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana, doktor falsafah dan sebagainya,” katanya.

Comments