Tazkirah Ramadhan : Kisah Sejarah
Kisah 
Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف) merupakan suatu kisah benar mengenai 7 
orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam Al-Quran, dari 
ayat 9 hingga 26; Surah Al-Kahfi, diceritakan
 kisah beberapa orang pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah
 gua dan bagaimana Allah سبحانه وتعالى tidurkan mereka selama 309 tahun.
Jika difikir secara logik akal, maka kisah dan cerita tentang Ashabul Kahfi
 termasuk suatu kejadian pelik, luar biasa dan menakjubkan. Tiada 
manusia yang dapat menjelaskan bagaimana ada orang yang boleh tidur 
sehingga ratusan tahun tanpa makan dan minum. Namun bagi orang yang 
beriman dan meyakini Allah سبحانه وتعالى bahawa tiada yang mustahil jika
 Allah سبحانه وتعالى mengkehendakinya demikian.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman;
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩
“Adakah
 kamu menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni
 gua) dan ‘Ar-Raqiim’ termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang 
menakjubkan?” (Surah Al-Kahfi; Ayat 9)
.
.
Dimanakah Terletaknya Gua Ashabul Kahfi
.
Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul Kahfi.
 Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di 
Jabal Qassiyyun, Syria dan  Gua di Ephesus (Tarsus), Turki. Namun Gua 
Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf) yang terletak di Abu Alanda, 
kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah
 yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya sebagai batu bersurat.
Walau bagaimanapun,  Allah سبحانه وتعالى 
tidak menunjuk dan menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka
 bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi
 umat Islam kerana Allah سبحانه وتعالى hanya mahu hamba-Nya mengambil 
iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.
.
Namun begitu berdasarkan ayat 17 surah al-Kahfi,
 dapat kita ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat 
persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. 
 Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.
 Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) 
Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah 
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka 
engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat 
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
.
.
Kisah Pembuktian
.
Ashabul Kahfi bukanlah kisah epik jenaka,
 dongeng atau suatu cerita rekaan manusia. Sejarah kejadian tersebut 
sebenarnya mempunyai hubungan erat dengan kegelisahan Nabi Muhammad ﷺ. 
Iaitu semasa ditanya oleh beberapa orang Yahudi untuk membuktikannya 
bahawa Baginda memang seorang Nabi Utusan Allah سبحانه وتعالى.
.
Orang-orang Yahudi bertanya Rasulullah ﷺ, “Wahai
 Muhammad! Tolong ceritakan kepada kami tentang kisah 7 pemuda yang rela
 mengasingkan diri untuk mempertahankan keyakinannya kepada Allah سبحانه وتعالى.
 Jika engkau sanggup menceritakan dengan benar, maka kami juga akan 
mengikuti ajaranmu dan menjadi sebahagian daripada orang Islam.”
Lalu Nabi Muhammad ﷺ memohon pertolongan 
pada Allah سبحانه وتعالى dan selepas 15 hari kemudian baginda mendapat 
wahyu tentang penjelasan kisah Ashabul Kahfi atau cerita mengenai 7 
pemuda yang ditanyakan oleh orang Yahudi tersebut. Penjelasan mengenai 
kisah Ashabul Kahfi ini terdpat pada Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26,
 di dalam kitab suci Al-Quran.
.
.
Kisah Ashabul Kahfi
.
Sebagaimana yang telah dikisahkan 
turun-temurun. Pada asalnya penduduk sebuah negeri itu beriman kepada 
Allah سبحانه وتعالى dan beribadat mengEsakanNya. Namun keadaan berubah 
selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus (Decius).
Raja kufur dari Rom ini, memerintah 
secara kejam dan kuku besi. Sesiapa yang menentang keinginan raja, maka 
samalah seperti ingin mengakhiri hidupnya lebih awal. Dia memaksa rakyat
 di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah سبحانه وتعالى 
serta bertukar kepada agama kufur dan menyembah batu berhala yang 
dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja tersebut 
terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.
.
Dalam pada itu terdapat sekumpulan pemuda
 beriman enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus yang kafir. Di 
tengah-tengah kekufuran raja, bangsa dan kaum mereka, kesemua tujuh 
pemuda tersebut secara sembunyi-sembunyi tetap beriman kepada Allah 
سبحانه وتعالى. Mereka teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun 
menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat 
demikian.
.
Pengesahan keberimanan pemuda-pemuda ini dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam firmanNya;
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya
 mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan 
Kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 13)
.
Kepercayaan dan keyakinan 7 pemuda ini 
terus bertahan sehingga kemudiannya sampai ke pengetahuan raja dan 
akhirnya mereka dipanggil mengadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim itu, mereka 
dengan penuh berani dan bersemangat, petah berhujah mempertahankan iman 
dan prinsip aqidah yang mereka yakini. Pemuda-pemuda tersebut mengakui 
bahawa hanya ada satu Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan.
 DIA-lah Allah سبحانه وتعالى yang Esa, Yang Maha Menguasai alam beserta 
isinya yang kekal abadi dan tidak akan ada sebarang kekurangan, DIA-lah 
tempat kita meminta pertolongan dalam susah atau senang, suka mahupun 
duka.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman dan menceritakan peristiwa mereka berhujjah;
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًاۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا ﴿١٥
“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan dan menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain Dia, sesungguhnya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang amat
 jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai 
tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan 
yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim 
daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah سبحانه وتعالى?” (Surah Al-Kahfi; Ayat 14-15)
.
Raja Decius dan pengikut-pengikutnya 
terkejut dan gagal menjawabnya. Walaupun tidak mampu membalas 
hujah-hujah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang 
kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad daripada agama 
mereka.
Raja Diqyanus menggunakan kekuasaan yang 
ada padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan agama 
mereka, jika dalam tempoh 2 hari para pemuda tersebut gagal membuat 
demikian dan tidak mahu mengubah keyakinan mereka dengan segera, maka 
mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dijatuhi hukum mati.
.
Ramai ‘mufassirin’ (ahli tafsir) generasi
 salaf dan ‘khalaf’ (generasi awal Islam dan generasi yang 
terkemudiannya) yang menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada 
anak-anak raja Rom dan orang-orang terhormat mereka yang bersatu kerana 
iman. Mereka tidak takut dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk 
saling bantu-membantu dan mempertahankan keimanan mereka hingga titisan 
darah terakhir. Bagi mereka lebih baik mati menggenggam iman daripada 
mengikuti jejak raja yang menyekutukan Allah سبحانه وتعالى.
.
Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama 
mereka, pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri untuk mencari
 satu keputusan muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya membuat 
kesepakatan untuk bersembunyi.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman ;
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا ﴿١٦
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah سبحانه وتعالى,
 maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan
 dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk 
menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 16)
.
Akhirnya mereka memutuskan untuk lari 
bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan 
pendalaman. Berangkatlah mereka bertujuh ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua untuk dijadikannya tempat bersembunyi dan di pintu gua itulah mereka berdoa sebelum memasukinya.
Allah سبحانه وتعالى berfirman pada ayat 10, Surah Al-Kahfi;
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: 

.
Menurut para ulama’ Ashabul kahfi 
(penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada 
tujuh orang pemuda bernama;
- Tamlikha (تمليخا)
 - Maksalmina (مكسلمينا)
 - Marthunus (مرطونس)
 - Nainunus (نينونس)
 - Saryunus (ساريونس)
 - Zunuwanus (ذونوانس)
 - Falyastathyunus (فليستطيونس)
 
.
Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu, 
ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir 
(قطمير). Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha 
iaitu salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.
Anjing itu turut bersama-sama dengan 
mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana 
keletihan, ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di 
sekitar pintu gua.
.
Keesokan harinya raja memerintahkan agar 
segera membawa para pemuda untuk dihukum mati, tetapi arahan raja kejam 
ini menemui kegagalan kerana para pemuda telah menghilangkan diri dan 
sukar ditemui. Seluruh rakyat dikerahkan untuk mencari para pemuda yang 
dianggap menderhaka itu.
.
.
Pencarian
.
Pencarian pun bermula, mereka diburu oleh
 para pembantu setia raja. Mereka bukan sahaja diburu oleh tentera Rom 
bahkan turut diberi tekanan oleh penduduk tempatan yang berpegang kuat 
terhadap agama nenek moyang mereka. Sesiapa di kalangan mereka yang 
mampu mencari dan membawa pemuda-pemuda tersebut ke hadapan, raja telah 
berjanji untuk memberikan hadiah dan kenaikan pangkat.
Ada sekumpulan pencari dan pegawai 
kerajaan yang akhirnya menemui sebuah gua di kawasan pedalaman. Tetapi 
oleh kerana gua itu dianggap sangat menggerunkan, mereka takut untuk 
memasukinya.
FirmanNya lagi;
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“…dan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua. Dan jika kamu melihat mereka, tentulah kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka, dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi rasa gerun takut kepada mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
Demi menyenangkan hati raja, para pegawai
 kerajaan melaporkan bahawa mereka telah menyusuri semua tempat di 
negeri tersebut dan telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya 
para pemuda tersebut berada di dalam, maka mereka tidak akan boleh 
keluar dan akan mati kelaparan.
Itulah batas logik manusia yang mempunyai
 kuasa dan merasa paling hebat berbanding dengan yang lain, padahal kita
 semua mengetahui bahawa terdapat suatu kekuatan yang tidak mungkin 
boleh ditakluki oleh kuasa akal dan fikir manusia. Dialah Allah سبحانه 
وتعالى yang tak akan membiarkan orang-orang membuat kerosakan dan 
penderitaan kepada hamba-hamba yang dikasihiNya.
.
.
Jasad Terpelihara
.
Sementara itu di dalam gua, kesemua tujuh
 pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah سبحانه 
وتعالى. Mereka telah ditidurkan oleh Allah سبحانه وتعالى dengan 
nyenyaknya dalam gua tersebut untuk sekian lama.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman tentang mereka di dalam gua;
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١
“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 11).
.
Allah سبحانه وتعالى ingin menzahirkan 
bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. 
Maka Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur 
dalam jangka masa yang sangat lama iaitu selama 309 tahun: tiga ratus 
tahun (dengan kiraan ahli kitab / Tahun Masihi) dan tambah sembilan 
tahun lagi (dengan kiraan kamu / Tahun Hijrah).
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا ﴿٢٥
“Dan
 mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun 
(dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun 
lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah Al-Kahfi; Ayat 25)
.
Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa
 makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah سبحانه وتعالى, badan dan 
jasad mereka tidak hancur atau rosak. Dengan kuasaNya juga, kedudukan 
gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah 
utara secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan 
dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.
 Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) 
Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah 
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka 
engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat 
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
.
Allah سبحانه وتعالى sengaja memberi ilham
 kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut 
sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah سبحانه وتعالى 
telah menetapkan aturannya. Bahkan Allah سبحانه وتعالى menyatakan 
bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya kita 
tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha
 Bijaksana.
FirmanNya lagi;
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“Dan
 engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami 
balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah 
kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka 
mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu 
menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan 
melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan
 terhadap mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
.
Kebangkitan
.
Masa terus berlalu, zaman pun telah 
berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh
 raja kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju 
dan bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.
Apabila sampai tempoh yang ditetapkan 
Allah سبحانه وتعالى (300 + 9 tahun), mereka pun dibangunkan. 
Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut mereka terasa lapar, 
dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa lama mereka 
tertidur. Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa sehari 
atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur 
dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ
“Berkatalah
 salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di 
sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari atau setengah 
hari…..” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19)
.
Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian 
daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar
 bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda 
bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan 
diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah سبحانه وتعالى menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ﴿١٩﴾ إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا ﴿٢٠
“Maka
 suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang
 perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling 
baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan 
itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah 
sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika
 mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu 
dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika 
demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19-20)
.
Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak
 mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan, 
mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota 
mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi 
halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa 
kepada Allah سبحانه وتعالى.
Walaupun Allah سبحانه وتعالى menyatakan 
dalam ayat di atas bahawa para pemuda tadi amat berhati-hati dan 
berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain kerana mereka menyangka 
raja yang memerintah negeri masih lagi raja kafir yang dahulu, namun 
Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka 
diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukkan akan keagungan 
kekuasaan dan kehebatanNya.
.
Semasa pemuda-pemuda Ashabul Kahfi itu 
dibangkitkan Allah سبحانه وتعالى selepas tidur selama 309 tahun, suasana
 negeri telah banyak berubah. Kebetulan Raja dan pemerintah negeri 
merupakan orang yang beriman kepada Allah سبحانه وتعالى, begitu juga 
dengan kebanyakan rakyatnya.
Namun masih 
terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu dan 
mempertikaikan tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu 
bagaimana Allah سبحانه وتعالى boleh menghidupkan orang yang telah mati? 
Apatah lagi yang telah beribu malah berjuta tahun lamanya dimakan tanah.
 Maka bertepatanlah masanya Allah سبحانه وتعالى membangkitkan Ashabul Kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih lagi ragu-ragu.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah سبحانه وتعالى menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
.
Pendedahan ini berlaku semasa orang ramai
 bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. 
Allah سبحانه وتعالى telah mendedahkan perihal pemuda-pemuda Ashabul 
Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan.
Pemuda yang keluar menuju ke pasar 
mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke 
kota. Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya 
yang berubah sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.
.
Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya sampai
 juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun 
penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini. 
Penduduk kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka 
semakin syak apabila melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang 
sudah berzaman tidak digunakan lagi.
Dia telah disyaki menjumpai harta karun 
lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya, 
maka terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang
 lari dari kepungan raja pada tiga abad yang silam. Mereka mengetahui 
akan peristiwa itu, daripada cerita yang masyhur dan telah disedia 
maklum oleh orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak rela 
menjual agama mereka kepada raja yang zalim dan memaksa mereka untuk 
menyembah batu.
.
Lalu salah seorang di antara mereka berkata kepada pemuda tersebut: “Janganlah
 kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah 
mati 300 tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah 
seorang raja mukmin yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya beriman seperti mana yang kamu imani.” 
Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan 
apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas 
serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah 
bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi 
sudah tiga abad lamanya.
.
Orang ramai kemudiannya membawa pemuda 
tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu. 
Betapa terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya,
 raja memeluk pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga. 
Seketika suasana istana menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran
 pemuda yang luar biasa tersebut.
Raja yang soleh ini kemudian menjelaskan 
kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun yang 
lalu. Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para 
pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi 
bersama wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua 
pemuda tersebut, apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam 
gua, di samping ingin mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar 
kisah sebenar mereka.
.
Setelah mereka keluar dari gua itu, 
mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam 
istana dan diberinya tempat di istana yang indah itu. Tidak lama 
kemudian walaupun raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap 
tinggal di istana, tapi kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan
 tetap memilih untuk kembali ke gua semula.
Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja: “Kami
 ini sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi kerana kami 
sudah melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, 
malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; 
yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas hati 
melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama 
beriman kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Di hadapan orang ramai, para pemuda ini 
menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah سبحانه
 وتعالى, jangan sesekali tunduk kepada sesiapa yang mengajak pada jalan 
kesesatan dan kemusyrikan.
.
Tidak lama kemudian selepas mereka 
memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman 
itu. Para pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah 
سبحانه وتعالى agar menurunkan rahmatNya dan agar Allah سبحانه وتعالى 
mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah. Sejurus selepas mengucapkan 
doa itu mereka merebahkan badan di tempat pembaringan lalu menghembuskan
 nafas mereka yang terakhir dengan tenang dan tenteram. Termaklumlah 
bahawa Allah سبحانه وتعالى telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan 
kembali kepadaNya untuk selama-lamanya.
Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas 
yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah 
سبحانه وتعالى, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin percaya bahawa janji 
Allah سبحانه وتعالى itu benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat 
itupun benar semuanya.
.
Sepeninggalan para pemuda itu, orang 
ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan 
sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci 
itu. Ada yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu 
sebagai kenangan. Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah 
ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya dari dalam masjid itu orang 
ramai dapat sama-sama menyembah dan membesarkan nama Allah dan sentiasa 
insaf akan kebesaran Allah سبحانه وتعالى.
.
Hal ini diceritakan Allah سبحانه وتعالى dengan firmanNya;
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًاۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ﴿٢١
“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah سبحانه وتعالى
 jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang 
berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya 
kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
.
.
Penutup
.
Allah سبحانه وتعالى menerangkan kisah Ashab al-Kahfi
 ini bukanlah sesuatu yang ganjil dan menghairankan jika dibandingkan 
dengan ayat-ayat lain. Banyak lagi kejadian lain seumpamanya yang 
menunjukkan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى, Yang Maha Kuasa mengatur alam
 menurut kehendak-Nya tanpa ada yang mampu menandinginya seperti 
penciptaan langit dan bumi serta segala yang ada di alam ini lebih 
mengagumkan lagi.
Sepertimana dikatakan Prof. Hamka; Maksud
 ayat al-Kahfi ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia menyangka
 bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua 
yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah سبحانه 
وتعالى? Padahal banyak lagi takdir Allah سبحانه وتعالى di dalam alam ini
 yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.
Pada hakikatnya, kisah yang penuh 
pengajaran ini masih belum cukup untuk menarik perhatian umum. Justeru 
marilah kita melakukan amal kebaikan dan menjadikan kehidupan sebagai 
suatu cita-cita luhur bagi meraih kebaikan dunia atau akhirat. 
Insya‘Allah…
.
.
والله أعلم بالصوابWAllah سبحانه وتعالىu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:Fadhilat Doa Ashabul Kahfi (Klik Di Sini)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
Kredit kepada blog  
10 Ramadhan 1438H

Comments
Post a Comment
Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-