Skip to main content

SIAPAKAH YUSUF TAIYOOB?

Tiap hari kita dengar iklan di Televisyen mahupun di corong-corong radio, nama Yusof Taiyob bukan lagi asing malah boleh dikatakan Yusof Taiyob merupakan individu paling famous dengan penghasilan jualan buah tamarnya yang sangat popular di Malaysia ini. Kali ini HK berminat untuk kenalkan anda semua siapakah gerangan individu yang bernama Yusof Taiyob ini.
Dari KL-Today
Semangat kental yang ada pada pemilik Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, wajar dicontohi generasi muda, khususnya yang menyimpan cita-cita meneroka bidang perniagaan.Datuk Yusuf Taiyoob, 47 pemilik syarikat kurma dan makanan berpangkalan di Pulau Pinang itu pernah muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut kerana berdepan tekanan apabila perniagaan pertamanya, penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal.
Ketika itu, usianya baru 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga pemakanan sehingga pada satu malam dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar.
“Orang tua saya fikir saya akan mati apabila lihat banyak darah keluar, nasib baik cepat mendapat rawatan.
“Doktor kata, kalau saya ini orang tua, saya sudah pergi dulu (meninggal dunia),” katanya mengimbau jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan dalam satu pertemuan di pejabatnya di Plaza MWE, Georgetown, Pulau Pinang.
Yusuf yang sebak menceritakan pengalamannya berkata, kejadian itu masih berbekas di hatinya kerana mengingatkan tiada sesiapa yang dapat membantunya kecuali diri sendiri dan keluarga rapat.
Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum mencapai tahap sekarang. Katanya, beliau pernah dihalau dan produknya dicampak begitu saja tanpa dilihat terlebih dulu.
“Saya bersusah payah ke Kuala Lumpur untuk mempromosi minyak wangi yang saya adun sendiri. Bukan saja syarikat berpengaruh itu tidak mahu menjual, minyak itu dibaling begitu saja,” katanya.
Namun, cabaran yang dihadapi itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, malah selepas peristiwa muntah darah serius sehingga tubuh badan kurus akibat perniagaan merudum, beliau terus mencari peluang untuk membuka perniagaan baru di lokasi lain.
“Saya bernasib baik mendapat sokongan ibu bapa dan datuk yang sebelum ini biasa terbabit dalam perniagaan. Pada masa itu, saya juga masih muda, ada peluang, untuk tukar haluan.
“Selepas keluar hospital dan berehat seketika, saya bertekad memulakan perniagaan lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecilan,” katanya.
Ketabahannya itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal kurma dan makanan untuk pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kini, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau yang enggan memberitahu nilai jualan syarikatnya, berkata kini syarikatnya membekal 35 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safawi, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara pada harga antara RM3 hingga RM120 sekilogram. Kurma itu diperoleh dari Asia Barat dan Afrika Selatan, termasuk Tunisia, Oman, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
“Saya pilih buah berkualiti tinggi berbanding yang ada di pasaran. Pelanggan kami mengetahui kualiti buah ini dan sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkannya,” katanya.
Syarikatnya juga mengimport pelbagai makanan kering seperti rempah ratus untuk masakan dan bahan membuat kuih-muih dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.
Dengan tempahan yang semakin memberangsangkan di beberapa negara Asia Tenggara, memaksa syarikat yang kian berkembang untuk memiliki kilang sendiri bagi menempatkan stok dan membungkus produk dengan jenama sendiri, Yu Ta.
Kilang yang dibina di kawasan seluas hampir lima hektar di Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, bakal siap sepenuhnya menjelang Mac depan dengan kos RM20 juta.
“Harapan saya jenama Yu Ta menjadi sinonim di kalangan masyarakat negara ini dan luar negara pada masa depan.
“Saya juga berharap perniagaan saya ini berkembang maju bagi membolehkan saya membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak yang berusia satu hingga tujuh tahun, berkata rezeki yang diperoleh itu sentiasa dikongsi bersama golongan kurang bernasib baik pada sepanjang masa.
“Saya tidak pernah hadkan sumbangan saya, namun saya tidak suka memberi kepada sebarangan orang yang meminta.
“Saya akan pastikan mereka yang menerima golongan yang layak, kerana duit yang diperoleh bukan jatuh terus dari langit,” katanya.

Kesibukannya yang bertugas dari pagi hingga malam, termasuk hari cuti tidak menghalang daripada menjalankan kerja kemasyarakatan.
Bagaimanapun, beliau tidak berminat dengan jawatan walaupun sering ditawarkan pelbagai jawatan seperti ahli lembaga pengarah pertubuhan di Pulau Pinang.
“Biarlah saya tumpukan kepada perniagaan dan hasilnya saya kongsi kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Yusuf juga jarang bersukan termasuk golf yang digemari ahli korporat lain.
“Saya habiskan masa di rumah dengan keluarga jika tiada urusan di luar,” katanya sambil menambah kejayaan yang diperoleh dapat membantu golongan kurang bernasib baik.
“Itu sudah menjadi kewajipan kita dan saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk mencapai hingga tahap ini,” katanya yang menerima pelbagai anugerah termasuk yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 2002 dan baru-baru ini.

Comments