Skip to main content

6 aktivis SMM ditahan di Speakers Corner UiTM

SHAH ALAM, 9 Dis: Enam aktivis mahasiswa ditahan polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam malam tadi ketika mereka sedang mengadakan sesi penerangan di Speakers Corner di kampus itu.

Program yang pada mulanya aman tiba-tiba bertukar kecoh apabila berlaku provokasi melampau oleh mahasiswa pro-aspirasi sehingga memaksa polis bantuan kampus itu campur tangan dan menahan keenam-enam aktivis mahasiswa itu.

Kesemua yang ditahan adalah dua dari UiTM, dua dari Universiti Malaya (UM) dan dua orang lagi masing-masing dari Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Razab yang juga salah seorang yang ditahan berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira jam 9.30 malam dan dibawa ke pejabat polis bantuan di UiTM Shah Alam.

Katanya, alasan penahanan mereka adalah kerana masuk ke kampus itu tanpa kebenaran, manakala dua pelajar UiTM itu pula ditahan kerana menyertai Speaker Corner yang tidak mendapat kelulusan pihak universiti.

"Bagi saya tindakan UiTM keterlaluan dan sangat terkebelakang berbanding kampus-kampus lain.

"UiTM juga tidak seiring dengan keterbukaan kerajaan yang mahu memberi kebebasan kepada mahasiswa," katanya.

Menurutnya lagi, kesemua yang ditahan kemudian dibebaskan kira-kira sejam kemudian selepas melalui soal siasat biasa.

Mereka juga diberi amaran agar tidak meneruskan program itu dan diiring keluar dari kampus tersebut sejurus selesai soal siasat tersebut.

Comments