Skip to main content

Daudsu, Subra Sah Sertai JDT Musim Depan

Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam disahkan akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT), manakala Mohd Shakir Shaari menyertai Selangor pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Penyerang prolifik Kelantan, Nor Farhan Muhammad yang disebut-sebut akan menyertai JDT membuat pusingan U apabila terus kekal bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Penyerang itu berbuat demikian selepas mengadakan rundingan dengan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.
Tak mampu bayar gaji
Annuar yang mengesahkan semalam berkata, empat pemain berkenaan memaklumkan hasrat untuk berpindah pada musim depan kerana mendapat tawaran yang lebih tinggi dari pasukan lain.
“Saya tak dapat berbincang dengan mereka sebelum ini kerana saya sakit. Namun selepas sihat, saya mengadakan pertemuan dengan mereka dan tidak dinafikan mereka mendapat tawaran tinggi dari pasukan lain.
“Kelantan tidak boleh menawarkan gaji terlalu tinggi hanya kerana sayangkan pemain yang akhirnya kita tidak mampu membayar gaji mereka. Kita tawarkan gaji mengikut kemampuan.
“Saya tidak mahu menanggung aib kerana tidak mampu membayar gaji mereka. Jadi, Daudsu dan Subramaniam meneruskan hasrat untuk berpindah manakala Nor Farhan ingin kekal bersama TRW,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zairo juga mahu kekal
Annuar juga mengesahkan bahawa Zairo Anuar Zailani yang dikatakan dipancing pasukan lain mahu kekal bersama pasukan itu untuk musim depan.
Mengenai pemain import, Annuar berkata keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan tiga pemain import musim depan adalah satu langkah baik yang mampu membendung harga pemain tempatan yang terus meningkat.
“Sekarang pemain tempatan minta gaji lebih mahal berbanding pemain import sedangkan kualiti mereka belum setara dengan pemain import,” katanya.

Comments