Skip to main content

Rumusan Suku Akhir Kelantan vs JDT: Antara Ego, Maruah Dan Drama

BADHRI (tengah) bersama Indra (kanan) menjadi antara arkitek di sebalik kejayaan besar Kelantan membelasah Johor DT di Kota Bharu malam kelmarin.
PERTEMBUNGAN suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin menyaksikan The Red Warriors mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila melanyak Harimau Selatan 6-1.
Kemenangan besar itu menyaksikan Kelantan mara ke saingan separuh akhir menerusi agregat 8-5 meskipun tumbang 2-4 di tangan Johor DT pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu.
Mengimbas semula aksi malam kelmarin, bahang kehangatan pertemuan timbal balik melibatkan kedua-dua pasukan itu rancak diperkatakan di laman-laman sosial mahupun laporan akhbar sebaik sahaja tamat aksi suku akhir pertama tempoh hari.
Kehangatan perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan dapat dilihat apabila tiket perlawanan sebanyak 18,000 keping yang dijual, habis dalam tempoh dua jam selepas kaunter jualan di Stadium Sultan Muhammad IV mula dibuka seawal pukul 9.30 pagi kelmarin.
Peminat tegar Kelantan yang hadir dari segenap pelosok negeri mula memenuhi stadium keramat mereka seawal pukul 5 petang bagi menzahirkan sokongan padu kepada The Red Warriors yang akan menentang Harimau Selatan dalam misi hidup mati untuk mara ke pusingan separuh akhir.
Sebaik sahaja wisel sepak mula dibunyikan, ‘pemain ke-12′ Kelantan mula memberikan sokongan padu dengan laungan keramat mereka – Gomo Kelate Gomo untuk membangkitkan semangat kepada The Red Warriors.
Sorakan ‘pemain ke-12′ The Red Warriors terus bergemuruh selepas pemain sayap, Mohd. Norfarhan Mohamad meledak jaringan pembukaan pada minit ke-18 diikuti jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi dan Obinna Nwaneri, masing-masing pada minit ke-33 dan 46.
Johor DT yang cuba bangkit menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-42 dilihat gagal untuk terus memberi tekanan kepada Kelantan.
Ketika jentera serangan Kelantan yang diketuai Dickson Nwakaeme dilihat semakin ‘menggila’ dengan asakan bertali arus ke kubu lawan, penggempur Johor DT pula dilihat kurang bermaya untuk menyaingi ketajaman penyudah tuan rumah meskipun Harimau Selatan dikemudi oleh dua tonggak Harimau Malaya – Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo dan Safee.
Harapan menggunung Johor DT yang disandarkan di bahu Mat Yo untuk merobek gawang Kelantan dilihat memberikan sedikit tekanan kepada bekas bintang Kelantan itu, ditambah pula dengan kekentalan Nwaneri mematahkan setiap asakan Harimau Selatan.
Mat Yo dilihat lebih tertekan apabila setiap kali mendapat bola selain turut di ‘boo’ oleh ribuan penyokong Kelantan.
Situasi itu ternyata memberikan tekanan tinggi terhadap Mat Yo yang gagal mempamerkan ketajaman penyudah sebagaimana ditonjolkan pada aksi suku akhir pertama lalu.
Sikap kurang sopan penyerang import Johor DT, Leonal Nunez yang menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan turut mewarnai pertembungan kedua-dua pasukan.
Sikap biadap itu perlu dihindari kerana ia boleh mencemarkan imej Nunez dan sukan bola sepak tanah air.
Begitu juga dengan sikap Nwaneri dan Nwakaeme yang kurang profesional ketika Kelantan semakin selesa mendahului Johor DT pada penghujung perlawanan juga menjadi bualan peminat.
Namun, pujian harus diberikan kepada penyokong Kelantan mahupun Johor DT yang tidak mencetuskan sebarang insiden panas sepanjang perlawanan berlangsung mahupun ketika aksi sudah berakhir.
Bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net) semangat juang tinggi yang dijelmakan oleh seluruh penyokong Kelantan wajar diberikan pujian kerana mempamerkan mutu sokongan yang tinggi.
“Semangat tersebut perlu diteruskan pada perlawanan akan datang seterusnya menyangkal dakwaan penyokong Kelantan ganas atau sering mencetuskan bibit-bibit pergaduhan,” kata Timbalan Presiden kelate.net, Mahizi Mahmood semalam.

Comments