Skip to main content

Politik Malaysia dan adiwira Jepun


Kalian pasti pernah menyaksikan cerita adiwira terkenal Jepun dalam siri Ultraman Saya kira sesiapa sahaja yang pernah hidup dengan Ultraman pasti berbangga dengan aksinya ketika bertempur dengan raksasa jahat yang berniat jahat untuk menjajah bumi.

Tapi pelik, selalunya Ultraman akan muncul dahulu entah dari mana, menjelmakan bentuknya, menggunakan kuasa ajaib untuk mempertahankan bumi. Entahlah, kata orang-orang tua, Ultraman ini saja direka untuk anak-anak jadi lalai, malas mengaji dan khayal dengan dunia fantasi yang jauh fikrahnya dari realiti.

Salah! Jangan sesekali membunuh fantasi anak-anak. Fantasi inilah realiti yang dipinjamkan kepada dunia khayalan. Realiti sebenarnya pasti ada.

Jangan terkejut kalau-kalau konspirasi Ultraman ini mampu membungkam propaganda pembodohan pemerintah. Lagi asyik kita larut dengan fantasi Ultraman, lagilah dekat kita dengan wayang-wayang diktator memancing undi.

Benar kata pengkaji filem, hal-hal propaganda paling luas tersebar melalui kaca televisyen. Adolf Hitler menyebarkan dakyah Nazisme menerusi kaedah hipnosis perfileman.

Bahasa orang-orang intelektual mencirikannya sebagai hegemoni, yang dipinjam dari perkataan Hegemon yang membawa maksud raksasa yang berkuasa dalam mitos Yunani. Mungkin Ultraman ini juga pernah berlawan dengan Hegemon. Kalah atau menang, ianya kekal sebagai mitos.

Munculnya raksasa
Salah satu adegan wajib dalam tayangan-tayangan Ultraman adalah raksasa mestilah muncul terlebih dahulu. Di saat kemunculannya yang tidak pasti dari mana, secara tiba-tiba mengamuk, membelasah dan merobek bangunanPpada masa yang sama Ultraman pasti muncul juga entah dari mana, melawan kejahatan raksasa yang memusnahkan.

Adegan yang sama telah dan sedang menjelma dalam realiti politik kita. Tiba-tiba sahaja entah dari mana, raksaksa bernama tol, cukai perkhidmatan, harga minyak dan gas dan apa-apa lagi muncul mengamuk.

Di saat hujung penggal pemerintahan, maka berbondong-bondonglah pondok tol dihapuskan, cukai mahu dikaji semula, subsidi yang ditarik balik ingin dikekalkan dan macam-macam janji lagi. Pemerintah yang mencipta raksasa, mereka jugalah menjadi Ultraman yang mahu menyelamatkan jiwa seluruh rakyat.

Taktik ‘Ultraman-Raksasa’ inilah yang kita perlu perhatikan dan berhati-hati. Hal ini kerana pilihan raya umum sangatlah dekat. Jadi, setiap apa yang termampu pasti akan dilakukan sekejap sebagai bodekan wajib untuk terus berkuasa.

Dalang pelaku – orang yang sama
Strategi demi strategi harus disusun sebagai skrip. Skrip ini diolah seperti merangka sebuah cerita. Ada permulaan, klimaks dan pasca-klimaks (resolusi).

Mula-mula, untuk memancing perhatian. Cara yang paling berkesan adalah mencipta kontroversi. Misalnya, perancangan untuk mengubah skim gaji dan pangkat penjawat awam. Kalau kakitangan awam diam, berjayalah konspirasi mengenakan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kalau seluruh penjawat awam, kecuali yang di puncak kayangan, memekik untuk membantah, maka skrip seterusnya adalah strategi memberi ubat kepada penyakit terbabit. Tibalah masa untuk memansuhkan cadangan berniat busuk yang awal itu.

Shahdan, slogan-slogan terima kasih pantas menghiasi setiap ruang yang ada walhal dalang pelakunya adalah sosok yang serupa Sama sahaja seperti taktik penerbit Ultraman; keluarkan raksasa dahulu untuk membikin kecoh, kemudian barulah Ultraman datang sebagai penyelamat supaya hal-hal seterusnya selesai.

Dalam perkara ini, masih ramai antara kita yang alpa. Sehebat-hebat Ultraman sekali pun, raksasa akan terus muncul membinasakan bumi. Jadi, kenapa perlu bertanggung harap kepada Ultraman?

Perlukah adiwira menyelamatkan kita?
Sebaiknya, kita sebagai rakyat perlu secara pro-aktif memainkan tindakan untuk mencegah kemunculan raksasa-raksasa itu. Jikalau kita aplikasi hari ini di dalam realpolitik Malaysia, apakah kebobrokan yang berpanjangan selama 54 tahun itu mampu disorokkan di lubang cacing selama-lamanya? Apakah dengan sedikit kebaikan yang diulang-ulang menjelang pilihan raya kita benarkan untuk merasa nikmat ditindas kezaliman untuk satu penggal lagi?

Dalam strategi politik lapok, taktik wayang Ultraman ini sangatlah berkesan untuk terus melegarkan rakyat dengan proses pembodohan kerana penipuan yang berulang-ulang akan menjadi kebenaran. Jadi, ketika detik pilihan raya hampir berbunyi, gajah pun menyerupai tikus, besi juga mampu berganti emas.

Semuanya kerana setiap undi kita adalah permata buat setiap pemimpin politik yang cuba untuk  memerintah negara dan bergelar kerajaan. Jadi, bagi kita yang sudah mengunjur ke hadapan dan bosan dengan sogokan material ini, kenapa tidak untuk kita cuba mendekati politik baru dan meninggalkan wayang-wayang Ultraman ini.

Kita sebagai pengundilah yang harus bijak memanfaatkan ruang yang diberi, undilah calon dan parti yang paling sesuai untuk menerajui tampuk kepimpinan negara. Ultraman hanya fantasi untuk kanak-kanak; kecualilah kita mahu terus dilayan seperti kanak-kanak oleh pemerintah yang ada. – Roketkini.com

Comments