Skip to main content

Pro-M tuntut p'raya kampus lebih awal

Kumpulan mahasiswa pro-Mahasiswa (pro-M) merancang untuk mengadakan pertemuan dengan timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bagi mendesak supaya pilihan raya kampus diadakan lebih awal.

NONEBekas setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPUM), Hawari Zakaria berkata kumpulan pelajar itu juga akan menyerahkan satu memorandum kepada Saifuddin untuk tujuan itu.

Hawari berkata, kumpulan pemimpin pelajar pro-M itu bercadang untuk bertemu dengan Saifuddin minggu depan di Parlimen.

Tarikh dan masa pertemuan itu akan diumumkan kemudian, katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.

Dalam sidang media sama, seorang lagi pemimpin pelajar pro-M, Mohd Taufik Abdul menjelaskan bahawa pemimpin pelajar berkenaan berdepan masalah apabila pilihan raya kampus lewat diadakan.

Lebih-lebih lagi apabila kampus berkenaan kini menubuhkan jawatankuasa sementara untuk menggantikan MPMUM, berkuatkuasa semalam, kata Mohd Taufik.

Jelasnya, MPMUM terbahagi kepada biro tertentu untuk memudahkan urusan pelajar dan pentadbiran.

"Dengan cadangan HEP untuk menubuhkan jawatankuasa sementara 'executive caretaker' ini hanya dapat membantu sebahagian kecil sahaja ruang lingkup peranan yang telah dimainkan oleh biro dalam organisasi MPMUM," kata pengerusi Pro-M Nasional itu.

Selain itu, Mohd Taufik juga berkata tiada ada pihak yang akan mengendalikan keseluruhan gerak kerja kampus sekiranya pilihan raya itu lewat diadakan.

Beliau memberi contoh, program Festival Konvokesyen kendalian MPMUM yang memerlukan persediaan rapi selama beberapa bulan sebelum ianya berlangsung pada bulan Oktober.
 
"Timbul persoalan andai tiada MPMUM yang mengendalikan festival ini, bagaimanakah ia akan berlangsung? ...Siapa pula yang menjadi penganjurnya?," soal Mohd Taufik.
 
Dengan itu, beliau mendesak pentadbiran universiti supaya mengambil tindakan segera dan menarik balik penangguhan pilihan raya.

Dalam sidang media sama, mantan yang dipertua MPUM Mohd Syahid Mohd Zaini pula berpendapat, keputusan untuk menangguhkan pilihan raya kampus itu "mungkin" dilakukan pentadbiran universiti kerana risau dengan "kebangkitan anak muda" menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Saya belajar sains politik. Itu yang saya boleh buat bacaan," kata pelajar tahun akhir Akademi Pengajian Islam itu lagi.

Majlis perwakilan mahasiswa di UM dan juga di Universiti Putra Malaysia telah dibubarkan bulan lalu namun belum ada tanda-tanda bahawa pilihan raya baru akan diadakan.

Difahamkan, pilihan raya kampus di semua institut pengajian tinggi awam hanya akan diadakan pada September.

Comments