Skip to main content

Teori dan praktik ke jalan raya (Oleh: Hishamuddin Rais)


Pada 9 Julai 2011 lalu, berpuluh-puluh ribu warga turun ke jalan raya. Ini demo Bersih 2.0. Kota Kuala Lumpur – Stadium Negara – menjadi sasaran berhimpun. Demo atau tunjuk perasaan ini bukan hanya di Kuala Lumpur. Ia menjadi global apabila warga Malaysia di kota-kota lain di seluruh dunia turut sama turun ke jalan raya.

Rakyat yang berpayung di bawah Bersih telah mengajukan 8 tuntutan kepada pihak berwajib. Tuntutan ini diajukan untuk memastikan perjalanan pilihan raya akan datang menjadi lebih bersih, telus dan adil. Tuntutan ini untuk memastikan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) tidak menipu. Untuk memastikan rakyat yang akan turun mengundi TIDAK ditipu.

Dari kajian Bersih – empat dari lapan tuntutan ini boleh ditunaikan tanpa memerlukan perubahan undang-undang. Empat tuntuan ini boleh ditunaikan serta merta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa memerlukan pindaan Perlambagaan. Empat perkara ini tidak perlu dibawa ke Parlimen. SPR hanya perlu membuat arahan pentabiran. Ia ialah: panjangkan masa berkempen, bersihkan senarai nama pengundi, reformasikan undi pos dan pengunaan dakwat kekal.  Apa yang terjadi – hampir satu tahun – hanya pengunaan dakwat kekal yang diterima SPR.

Semua warga sedar bahawa PRU 13 tidak lama lagi. Jika lapan tuntutan ini tidak ditunaikan, ertinya penipuan dan penyelewengan akan terus berlaku.  Ertinya gerombolan United Malays National Organsiation masih mahu mengadakan pilihan raya berat sebelah. Gerombolan mahu meneruskan kekuasaan melalui penipuan. Ertinya pilihan raya yang akan datang ini tidak adil. Juga jelas terbukti lembaga SPR masih lagi menjadi barua setia kepadaUnited Malays National Organsiation.

Semua ini memberi makna bahawa PRU13 nanti adalah pilihan raya tipu. JikaUnited Malays National Organisation menang bermakna kemenangan melalui penipuan. Justeru – melihat semua fakta ini, maka sebagai warga bertanggungh jawab – kita semua wajib turun ke jalan raya sekali lagi. Justeru kerana ini saya kini melaungkan suara: Ke Jalan Raya Sebelum ke Pilihan Raya.

Ke jalan raya sebelum ke pilihan raya
Slogan ini jika tidak difahami maknanya, maka ia hanya menjadi kata-kata kosong. Justeru, saya ingin memberi pemahaman teoritikal tentang politik jalan raya. Ini amat penting. Sebelum ke jalan raya kita wajib memahami apakah sebenarnya politik jalan raya? Dan bagaimana politik jalan raya ini dapat memberikan manafaat dan kebajikan untuk kita semua.

Untuk memahami ini, saya membuka pencerahan dengan memberi latar belakang sejarah politik Iran. Iran yang kita ketahui hari ini jauh berbeza dari Iran pada 70-an. Ketika itu, Iran di bawah pemerintah Ahmad Reza Pahlevi yang mengelarkan dirinya Raja Segala Raja Raja. Ahmad Reza ini dengan sokongan Amerika dan CIA memerintah Iran dengan kuku besi. Special Branch Iran yang dipanggil ‘Savak’ sering menangkap, memenjara, menyeksa dan membunuh anak-anak muda, mahasiswa, kaum agamawan – imam dan Ayatollah – atau siapa sahaja yang berani mengkritik atau melawan Shah. Untuk terus berkuasa, Ahmad Reza telah mengadakan ‘pilihan raya’ untuk melantik Perdana Menteri dan ahli-ahli parlimennya.

Dari Iran saya bawa pembaca ke negara yang lebih dekat – Filipina. Sama seperti Iran, Filipina juga di bawah cengkaman Amerika melalui budak suruhan yang bernama Ferdinand Marcos. Kalau Ahmad Reza naik takhta melalui rampas kuasa, Si Marcos ini naik tahtha dengan mengunakan pilihan raya.

Dari Dewan Senat, Marcos menggunakan pilihan raya hingga berjaya menjadi Presiden kali pertama pada 1965. Pada 1969, Marcos mempertahan kerusi Presidennya. Hingga ke hari ini warga Filipian masih lagi mengingati bagaimana pada 1969 itu Marcos telah membeli undi untuk terus menjadi Presiden. Setelah mendapat kuasa melalui penipuan Marcos terus menjadi diktator selama 30 tahun: 1965-1986.

Dari Filipina, saya membawa latar belakang yang lebih dekat. Pada 1965 Jeneral Haji Muhamad Suharto telah merampas kuasa dari Presiden Sukarno. Sama seperti rampasan kuasa di Iran, rampasan kuasa di Jakarta ini juga dirancang oleh CIA. Pada awalnya Jeneral ini menggunakan kuasa tentera untuk terus berkuasa. Kemudian untuk meneruskan kuasanya Jeneral Suharto mengadakan pilihan raya. Pilihan raya Suharto ini samalah seperti pilihan raya Ahmad Reza Pahlevi, sama seperti pilihan raya Marcos dan tidak jauh bezanya dari PRU 13 yang akan dijalankan Najib Razak jika 8 Tuntutan Bersih tidak ditunaikan.

Akhirnya – di Iran pada 1979 anak muda dan mahasiswa turun ke jalan raya untuk menghalau Shah Reza. Akhirnya pada 1986 Kuasa Rakyat turun ke jalan raya di Manila untuk menghumbankan Marcos. Di Indonesia, Jeneral Haji Muhamad menang tanpa lawan untuk menjadi Presiden Indonesia dari 1973, 1978, 1983, 1993 dan 1998. Akhirnya pada 1998 anak muda dan pelajar di Jakarta turun ke jalan raya untuk menamatkan kuasa diktator Suharto.

Menghalalkan pemerintahan zalim
Apa yang jelas dari pencerahan ini ialah semua ‘orang jahat’ ini mengunakan pilihan raya untuk menghalalkan pemerintahan mereka. Orang jahat ini mahu dilihat ‘dipilih’‘ oleh rakyat. Orang jahat ini sedar bahawa masyarakat dunia tidak akan menerima mereka jika mereka tidak dilantik melalui pilihan raya.

Apa yang jelas ialah semua orang jahat ini hanya turun dari takhta apabila rakyat turun ke jalan raya. Apakah ini ada persamaan dengan Malaysia? Jawabnya tentu sama. Kita jangan lupa bagaimana Mahathir Mohamad juga menggunakan pilihan raya untuk terus berkuasa selama 22 tahun. Ketika berkuasa, Mahathir telah meminda Perlembagaan, telah membuang Ketua Hakim Negara, telah memenjarakan lawan, telah membuat pelbagai akta dan undang-undang untuk memastikan dirinya terus berkuasa.

Pada 1998, anak muda, pelajar dan orang ramai turun ke jalan raya untuk menghumbankan Mahathir ke tong sampah sejarah. Wajib diakui jika tiada gerakan Reformasi di jalan raya untuk mengundurkan Mahathir – saya yakin hari ini – 2012 – Mahathir menjadi seorang Emperor, manakala anaknya, Mukhriz menjadi Raja Muda.

Memperkasa keyakinan
Contoh ini memberi pencerahan kepada pembaca bahawa untuk diktator, untuk perampas kuasa dan untuk pemimpin zalim – pilihan raya hanya tipu helah. Untuk yang zalim dan yang menipu di pilihan raya, jawapan yang tepat ialah jalan raya. Secara teoritikal turun ke jalan raya ini adalah proses memperkasa keyakinan politik. Ceramah yang kita dengar itu boleh ditakrif sebagai kuliah politik. Dari kuliah ini kita diberitahu tentang Aminulrasyid mati dibunuh, Francis mati dibunuh, Teo Beng Hock mati dibunuh, Altantuya mati dibunuh. Dari kuliah ini juga kita diberi penerangan bagaimana Najib mendapat beratus juta ringgit komisen apabila membeli kapal selam.

Kita juga diberi pemahaman bagaimana hutang Tajuddin Ramli lebih dari 500 juta ringgit dilupuskan oleh kerajaan. Kuliah terbaru pula memberi kita sedar tentang bagaimana anak Nazri Aziz yang terlibat dalam kes bunuh dan kes pukul tetapi tidak didakwa. Kuliah ini menjadikan kita marah. Justeru apabila ada jempuatan untuk turun ke jalan raya dengan cepat kita bersetuju untuk ikut serta. Ke jalan raya ialah latihan pratikal politik kita.

Apabila kita bersama dengan ribuan orang ramai di jalan raya – maka kita akan merasa yang diri kita tidak terpencil. Kita mula sedar bahawa bukan kita seorang sahaja yang marah terhadap kejahatan United Malays National Organisation. Ribuan lagi memiliki perasaan sama. Ini adalah proses memperkasa keyakinan diri.

Kemarahan yang kita bawa ke jalan raya ini, kita terjemahkan kepada pengundian. Kita telah berkuliah, kita telah membuat pratikal dan kita wajib mengambil peperiksaan. Justeru, mengundi itu adalah peperiksaan akhir. Inilah proses demokrasi. Kerana saya yakinkan proses demokrasi ini, maka saya berani laung: Ke Jalan Raya Sebelum Ke Pilihan Raya.

Inilah pengalaman anak muda di Tehran, di Manila dan di Jakarta. Sesudah Shah Iran lari ke Mesir, setelah Marcos lari ke Hawaii dan setelah Suharto berhenti, maka di semua negara ini telah diadakan pilihan raya yang bersih, telus dan adil. Siapa yang menang dan siapa yang kalah, saya tidak ambil port. Yang penting pilihan raya bersih, adil dan telus.

Jangan silap faham, kita ke jalan raya bukan untuk mengganas atau buat kacau. Kita ke jalan raya kerana kita mahu pilihan raya bersih, telus dan adil. Kita ke jalan raya kerana mahu tuntutan kita ditunaikan. Kita ke jalan raya sebelum pilihan raya kerana 7 Tuntutan Bersih masih tidak dipedulikan.

Sikap SPR tidak mempedulikan 7 Tuntutan Bersih ini menjadikan rakyat Malaysia marah. Kita marah kerana kita tahu telah ada perancangan licik untuk menipu kita. Jika 7 Tuntutan Bersih ini tidak ditunaikan, maka PRU 13 ini, sahih satu pilihan raya tipu.

Comments

  1. macamana boleh menag di 5 negeri? boleh kasi tau tak kominis gay tua..

    ReplyDelete

Post a Comment

Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-