Skip to main content

700 pelajar protes tindakan UIA gantung Prof Aziz Bari

Ahmad Syukri Ab Razab (pegerusi SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia)) memegang Memorandum Solidariti untuk Kebebasan Akademik kepada Rektor UIAM semasa berucap kepada penyokongnya. ― Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Kira-kira 700 pelajar berhimpun di kawasan masjid dalam kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak membantah tindakan pengurusan pusat pengajian tinggi itu menggantung perkhidmatan pensyarah undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari.
UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas Aziz kelmarin dan perkhidmatannya digantung sehingga inkuiri selesai.
Pelajar-pelajar terbabit juga mendesak Rektor UIA Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas Aziz dengan kadar yang segera bagi memulihkan imej universiti sebagai institusi akademik yang disegani.
Ekoran protes ini juga orang ramai tidak dibenarkan masuk ke dalam kampus untuk menunaikan solat Jumaat di masjid UIA seperti biaza.
Tinjauan The Malaysian Insider mendapati kawalan keselamatan dipertingkatkan di pintu masuk utama.
Bagaimanapun selepas solat Jumaat, peserta perhimpunan yang datang dari beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh negara, yang sudah bersiap sedia sejak 9 pagi tadi, berkumpul secara aman dan menunjukkan protes dengan membawa poster tertera gambar Aziz dan perkataan “Selamatkan Aziz Bari”.
“Hidup ilmu!  Hidup mahasiswa! Hancurkan kezaliman!” teriak peserta perhimpunan yang menuntut tindakan penggantungan Aziz ditarik balik.
Protes yang diketua Presiden SMM, Ahmad Syukri Ab Razab itu kemudiannya bergerak menuju ke pejabat rektor   untuk membuat penyerahan memorandum.
Namun dihalang oleh pengawal keselamatan dan situasi tersebut mencetuskan ketegangan dan berlaku insiden tolak-menolak antara peserta demonstrasi dan pihak keselamatan.
“Pulangkan semula prinsip kebebasan akademik kepada pensyarah dan pelajar,” jerit Syukri kepada penyokong protes tersebut ketika insiden tolak-menolak berlaku.
Situasi tegang itu kemudiannya berakhir setelah salah seorang wakil daripada SMM dibenarkan berjumpa dengan timbalan rektor untuk menyerahkan memorandum mereka.
Memorandum itu antara lain menuntut dua perkara pokok terhadap isu ini iaitu menarik balik penggantungan tugas yang dikenakan ke atas Aziz (gambar kanan) dan juga menuntut pihak berkenaan memberikan kebebasan akademik kepada pelajar dan pensyarah.
“Kita hanya minta dua perkara daripada pentadbiran UIA, tarik balik penggantungan tugas Prof Aziz dan kembalikan hak kebebasan akademik kepada pelajar dan pensyarah,” tegasnya yang memberikan ucapan sambil didukung peserta demonstrasi itu.
Dua wakil rakyat dari Pakatan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Batu Tian Chua, dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, masing-masing naib presiden PKR kelihatan di kawasan kampus UIA.
“Saya ucapkan tahniah kepada mahasiswa ini kerana berani menyuarakan pendirian mereka, orang muda harus berani bangkit menentang kezaliman,” kata Tian Chua selepas perhimpunan tersebut selesai.
Nurul Izzah turut menyokong kenyataan Tian Chua dan menyifatkan penyertaan mahasiswa dalam demonstrasi hari ini adalah satu permulaan untuk membebaskan institusi pengajian tinggi sebagai kawasan yang bebas daripada campur tangan politik.
“Setelah 13 tahun sejak tahun 1998, ini merupakan tindakan politik menggila UIA dengan penggantungan Aziz Bari, ucapan tahniah untuk pelajar UIA kerana berani menegakkan kebenaran dan membebaskan UIA dari jajahan kuasa politik,” tegas beliau mengimbas kembali detik permohonannya untuk menyambung pengajian di UIA ditolak berikutan kebimbangan pihak pengurusan terhadap tekanan politik ekoran kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Comments

  1. bagaimana dengan isu ini sekarang??...maaf lama tak follow....

    ReplyDelete

Post a Comment

Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-