Filem reboot kepada francais Spider-Man, The Amazing SpiderMan mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila mencatat kutipan USD35 juta (kutipan tempatan) pada hari pertama tayangannya, rekod tertinggi untuk filem yang dibuka pada hari Selasa.
Filem terbaru superhero Marvel itu mengetepikan pemegang rekod sebelum ini, Transformers yang turut dibuka tayangannya pada hari Selasa tahun 2007. Transformers pada ketika itu mencatat kutipan USD27.9 juta.
Kejayaan tersebut membuktikan siri francais Spider-Man sememangnya mempunyai pengaruhnya tersendiri selepas kejayaan trilogi arahan Sam Raimi dan lakonan Tobey Maguire yang ditayangkan sekitar tahun 2002 hingga 2007.
Selepas kata sepakat gagal dicapai antara Sam Raimi dan pihak produksi Sony Pictures pada tahun 2008, Sony kemudiannya membuat keputusan untuk memulakan kembali siri filem Spider-Man dengan jalan cerita, pengarah dan pelakon yang baru.
Filem baru ini diarahkan oleh Marc Webb dan menampilkan Andrew Garfield sebagai Peter Parker, remaja yang digigit sejenis labah-labah yang terdedah kepada radiasi, seterusnya menganugerahkan Peter kekuatan dan kelebihan luar biasa seperti seekor labah-labah.
Turut membantu menjayakan filem ini ialah Emma Stone sebagai Gwen Stacy, kekasih Peter ketika di zaman persekolahan dan Rhys Ifans sebagai watak jahat Dr Curt Connor/Lizard.
Kebanyakan pihak bagaimanapun mengkritik tindakan Sony yang memulakan semula francais ini terlalu awal, hanya lima tahun selepas kejayaan siri Sam Raimi. Bagaimanapun, reviu yang bagus mengenai filem ini berjaya menutup mulut para pengkritik dan filem The Amazing Spider-Man ini dijangka akan menjadi salah satu filem terhebat untuk tahun 2012 ini.
Comments
Post a Comment
Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-