Skip to main content

Rais tarik balik logo Hari Merdeka


(Logo Hari Merdeka ke 55 yang ditarik balik oleh Rais)


KUALA LUMPUR: Selepas diserang kiri dan kanan akhirnya Datuk Seri Rais Yatim menarik balik logo hari kemerdekaan negara yang ke 55.

Namun, Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi." 

Rais berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.

Beliau berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini menggunakan tema "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

Rais berkata, akan ada beberapa bahan promosi lain dipaparkan menjelang Hari Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.

Pelbagai pihak mempersoalkan mengapa logo sambutan Hari  Kemerdekaan ke-55, yang memaparkan gabungan logo 1Malaysia, bendera Malaysia dan tulisan "55 Merdeka Janji Ditepati", hanya ala kadar dan tidak mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi.

Selain logo, turut dikritik adalah lagu temanya serta temanya.

Namun sehingga kini, lagu dan slogan itu masih dikekalkan.

Lagu tema

Sejak ia dilancarkan awal bulan ini, dan dimuat naik pelbagai pihak di Youtube, hanya kritikan-kritikan pedas memenuhi ruang komen termasuk mereka yang memilih 'dislike'.

Ada antara mereka memberi komen bahawa lirik lagu tersebut langsung tidak relevan dengan kemerdekaan apatah lagi untuk menanam semangat patriotik di kalangan rakyat.

"Sepanjang-panjang lirik ini, satu pun tak ada sebut perkataan Merdeka. Kata lagu tema Hari Kebangsaan," komen seorang pengunjung youtube.

"Kalau Tunku Abdul Rahman hidup lagi mesti dia menyesal," tambah yang lain.

Tema


Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil (gambar)antara pengkritik utama tema Hari Kemerdekaan kali ini.

Kadir yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan berkata, tema perayaan hari kemerdekaan  disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN.

Tema hari kemerdekaan tahun ialah Janji Ditepati.

"Ianya begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya.

"Ianya tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ianya seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak BN," katanya dalam kenyataan akhbarnya.

Comments