Skip to main content

Demo UiA : Siswa UiTM dapat amaran gantung pengajian

Shah Alam, 27 Okt - Dua demonstrasi yang diatur mahasiswa dalam isu pergantungan Prof. Dr. Aziz Bari Jumaat dan Selasa lalu nampaknya tidak akan berkesudahan.
Prof. Dr. Aziz Bari sudah ‘bebas’ namun episod perjuangan gerakan mahasiswa nampaknya bakal diteruskan ke sebuah lagi kampus selepas ini.
Terbaru, seorang mahasiswa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam diberitakan telah diugut dan diberi amaran daripada pentadbiran universiti tersebut.
Amaran itu dikeluarkan berikutan keaktifan pelajar tersebut ‘melawan kerajaan’ dalam beberapa isu utama.
HEP ‘warning’ akan gantung pengajian

Khalid Ismath
Menurut maklumat yang diperoleh, Khalid bin Muhammad Ismath, siswa Tahun Satu Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam bakal dipanggil untuk tindakan tatatertib di Mahkamah Universiti.
Sehingga kini, tarikh untuk dihadapkan masih belum diketahui.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam, Dr. Mohammad Rizal Abidin diberitakan telah mengeluarkan amaran kepada Khalid agar tidak terlibat dengan mana-mana gerakan ‘menentang kerajaan’.
“Jika kamu terus terlibat, kami tidak akan teragak-agak akan gantung pengajian kamu jika terus lawan kerajaan.”, demikian kata-kata amaran yang dikeluarkan terhadap siswa tersebut baru-baru ini.
Aktif di blog
Khalid Ismath yang juga antara individu lantang bersuara melalui blognya (Revolusi Habib dan Revolusi Habib II) diberitakan diberi amaran berikutan gambarnya tersiar di beberapa aksi mahasiswa menentang tindakan kerajaan sebelum ini, terbaru di UIAM baru-baru ini.
Khalid juga merupakan antara siswa yang aktif dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang lantang menyuarakan pandangan dan lontaran berhubung isu-isu semasa yang berlaku. – GZDaily

Dipetik dari Warkah Daily
WarkahDaily – Kalau engkau nak berkaraoke, nak bersosial dan berpesta, itu dibenarkan tanpa banyak soal di kawasan IPT termasuk di UiTM. Tapi jika engkau nak bersuara, tuntut ketelusan, tuntut kebebasan bersuara, perjuang keadilan sejagat, maka engkau akan ‘ditahan’, engkau akan disekat, engkau akan digantung pengajian di IPT.

Itulah nasib golongan mahasiswa di IPT di negara ini. Sepatutnya suara mereka diambil perhatian, diberi kebebasan untuk memberi pendapat tapi dengan campur tangan ‘tahi-tahi’ Umno-BN dalam pentadbiran IPT berkenaan, semua itu nampak macam ‘bodoh’. Semuanya nak disekat melainkan hiburan dan pesta kelalaian.

Bagaimana kita mahu bentukkan negara ini dengan cerdik pandai, golongan terpelajar dan ilmuan yang hebat dan mempunyai fikiran yang kritis jika suara dan pendapat mereka disekat membabi buta oleh golongan yang tidak boleh menerima kenyataan dan minda jumud. Alangkah ruginya negara ini mempunyai satu rangkaian pemerintahan yang terlalu jumud dan otak ‘tepu’ yang tidak boleh menerima pandangan dan teguran orang lain melainkan apa yang mereka lakukan adalah betul dan tepat.

Baru-baru ini, pihak pentadbiran Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam dilaporkan mengambil tindakan amaran penggantungan pengajian terhadap saudara Khalid Mohd Ismath berkaitan tulisan beliau dalam blognya yang ‘menghentam’ pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari dan terlibat dengan Demonstrasi Aman Kebebasan Akademik di UIAM.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terkebelakang dan jumud UiTM itu dan berpendapat tindakan amaran penggantungan yang dikenakan kepada saudara Khalid Mohd Ismath adalah satu tindakan yang zalim dan tidak relevan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang terkandung dalam perlembagaan perkara 10(1)(B).

Menurut Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM, Wan Farel, pihak pentadbiran UIAM sendiri sudah pun ‘membebaskan’ Professor Dr Aziz Bari, ini membuktikan tindakkan UIAM tidak berlandas kepada peraturan, jadi di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka?

“Kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil 'pembonsaian minda' terhadap mahasiswa,” jelas Wan Farel.

Khalid Mohd Ismath adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang UiTM dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Menurut sumber tertentu melalui tulisan di blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai tidak patut memandangkan Prof Abdul Aziz digantung sebelum dibicarakan lantas Khalid mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan pentadbiran UIAM Selasa lalu. 

“Tindakan UiTM membuktikan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan jelas telah dilacurkan oleh pihak universiti dengan tindakan memanggil Saudara Khalid dan mengarahkan beliau memadamkan tulisan di blognya,” kata Wan Farel.

Atas desakan pihak universiti, Khalid terpaksa Akur dan memadamkan tulisan yang ditulis diblognya. Jika sebelum ini ada pihak yang cuba membangkitkan bahawa kuasa mahasiswa atau kehebatan mahasiswa tidak sehebat seperti era 70-an, namun sebenarnya yang ‘membisukan’ suara mahasiswa adalah sikap pentadbiran seperti yang ditunjukkan UiTM dan juga Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang jelas masih mencengkam suara mahasiswa.

Menurut Wan Farel, SAMM memberi amaran keras buat pihak pentadbiran UiTM jika sekiranya mengambil tindakan terhadap saudara Khalid.

“Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran dan akan bekerjasama dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mendesak keadilan kepada saudara Khalid,” kata Wan Farel.


Pendapat dari seorang blogger

Apabila terbaca berita ini , update daripada Berita Universiti . Aku agak terkejut. Petang tadi baru sahaja aku terbaca status Khalid Ismath yang dia dipanggil oleh Dekan HEP disebabkan aktivitinya selama ini yang dianggap 'menentang kerajaan."

Ini dia bila universiti mendapat campur tangan politik. Ini dia cerita daripada sebuah universiti yang merancang untuk melahirkan Pemenang Anugerah Nobel Melayu Pertama. Adakah dengan memberi sekatan untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari serta mempersoalkan sesuatu demi mengutip pengalaman itu sesuatu yang dianggap menentang kerajaan ?

Andai kata pihak kerajaan menganggap bahawa mahasiswa radikal ini menggugat pemerintah serta menentang kerajaan. Fikirkan semua kenapa berlakunya penentangan tersebut. Fikir Fikir Fikir !


Mahasiswa bukan bebal , mahasiswa mampu terfikir. Mungkin ada sesetengah pihak menganggap Mahasiswa sudah berjaya ditidurkan , tetapi jangan ingat semua kerana masih ada lagi Mahasiswa sedar.

Aku teringat debat diantara Dato' Saifuddin Abdullah dan bekas VC UiTM yang membicarakan tentang penglibatan Mahasiswa dalam politik. Dato' Saifuddin telah menentang keras hujah bekas VC UiTM yang memberi kenyataan bahawa Mahasiswa itu tidak matang.

Jangan kerana memelihara kepentingan pihak tertentu. Institusi hancur , andai kata tindakan Mahasiwa itu salah , tegur dan anggap itu sebagai salah satu proses pembelajaran. Bukan menghukum. Berani mencabar dan mempersoalkan menunjukkan kesediaan Mahasiswa mempelajari sesuatu perkara.

SISTEM AKAN ROSAK APABILA SEKATAN TERUS DIBERIKAN.

Sumber dipetik disini

Comments