KUALA LUMPUR, 13 Nov: Kumpulan Aktivis Mahasiswa  Independen (Kami) meminta  penjelasan daripada Naib Canselor Universiti  Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkenaan dengan  Pertandingan Pidato Politik anjuran Pemuda Barisan Nasional yang  diadakan di Dewan Seminar HEA, Menara UiTM (SAAS), Shah Alam pagi tadi  yang terang-terangan berunsurkan politik.
“Mahasiswa merasakan keterangan Naib Canselor UiTM bertajuk ‘tidak perlu pinda Auku’ hanyalah sekadar retorik semata-mata,” kata Presiden Kami, Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya inginkan penjelasan daripada NC UiTM di atas  percanggahan di dalam keterangan Sahol dengan apa yang terjadi pada  hari ini.
“Kalau betul tidak mahu mahasiswa berpolitik, jangan bagi kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus,” katanya.
Tambahnya, tindakan memberi kebenaran kepada parti politik masuk ke  kampus sebenarnya akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat khususnya  mahasiswa.
“Sejujurnya Kami tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan VC  UiTM yang mengatakan penglibatan mahasiswa dalam politik akan  menyebabkan perpecahan,” katanya lagi.
Katanya, kenyataan VC UiTM bahawa pindaan Auku akan mengancam  keamanan serta kesepakatan penuntut Bumiputera dan Melayu di universiti  itu dikira sebagai sesuatu yang tidak relevan.
Beliau meminta diberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk meluahkan  pendapat walaupun bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh pihak  universiti.
Ujarnya lagi, tindakan mengongkong mahasiswa sebenarnya tidak membawa  apa-apa faedah malah akan melahirkan mahasiswa yang tidak kritikal,  konservatif serta jumud dalam berfikir.
“Kalau dah orang politik pemerintah boleh dibawa masuk ke kawasan  kampus, apa salahnya berikan sahaja kebebasan kepada mahasiswa untuk  berpolitik.
“Jangan pula nanti cakap lain tapi buat lain,” katanya.

Comments
Post a Comment
Admin tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang menyalahi undang-undang negara. Semua komen yang dibuat adalah milik peribadi dan tiada kena mengena dengan pihak admin. Admin berhak membuang/delete komen yang berunsur hasutan dan tidak beretika.
-HK-