Skip to main content

Kelantan mula dilanda banjir, lima keluarga dipindahkan

KOTA BHARU - Hujan berterusan sejak dua hari lepas di Kelantan menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air dengan lima keluarga di daerah Pasir Puteh dipindahkan petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Kelantan, berkata kelima-lima keluarga mengandungi 26 orang itu dipindahkan secara berperingkat ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang bermula pukul 3.30 petang.

Beliau berkata laluan utama Kota Baharu-Pasir Puteh di Bukit Abal ditutup kepada kenderaan ringan akibat digenangi air sedalam satu meter.

Zainuddin berkata bagi menghadapi bencana banjir, sebanyak 729 buah pusat pemindahan disediakan di seluruh Kelantan dengan kapasiti muatan 150,700 orang manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan bekalan makanan seperti beras,
sardin, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi.

Maklumat berhubung banjir di Kelantan boleh diperoleh menerusi portal khas http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Zainuddin juga  memohon agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian bagi membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerapkali melanda negeri itu.

"Kita sedia maklum bahawa kerajaan persekutuan sebelum ini telah banyak menyalurkan peruntukan jutaan ringgit untuk membantu menaik taraf sistem perparitan antaranya di Pasir Mas dan Tanah Merah. Namun, untuk kali ini kita memohon lagi bantuan dari kerajaan persekutuan terutama JPS agar membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti punca berlakunya banjir kilat di negeri ini," katanya.

Penduduk kawasan perumahan di daerah Kota Baharu, Tumpat dan Machang sering berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.

Comments