Skip to main content

Lelaki diserang pekerja KFC nafi provokasi


Seorang lelaki yang didakwa diserang oleh kakitangan sebuah restoran Kentucky Fried Chicken pada Isnin lalu menafikan tuduhan bahawa beliau telah mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman ke atas pekerja kedai makanan segera itu sehingga menyebabkan pergaduhan.

NONEDanny Ng, 26, ketika menceritakan semula insiden tersebut berkata, beliau berasa marah kerana menunggu lama di dalam barisan pelanggan, tetapi kemudiannya diberitahu bahawa makanan yang ditawarkan itu telahpun habis.

Beliau seterusnyna memarahi pekerja berkenaan dengan suara yang kuat, tetapi beliau tidak menggunakan kata-kata kesat ataupun yang bersifat perkauman, katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beberapa pengguna Internet yang menonton rakaman insiden berkenaan mendakwa Ng telah menghamburkan kata-kata bersifat perkauman kepada pekerja berkenaan sehingga menyebabkan lelaki itu diserang oleh pekerja restoran tersebut.

Ng memanggil sidang media di pejabat ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng untuk menafikan dakwaan tersebut.

NONE"Ada yang dakwa saya telah mengatakan perkara yang menghina agama dan kaum. Saya tidak pernah kata begitu.

"Ada yang tuduh saya mabuk pada malam itu tapi saya tidak mabuk. Saya tidak minum (arak)," katanya lagi.

Sementara itu, KFC Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata syarikat tersebut masih menyiasat insiden berkenaan.

Sebaik saja siasatan selesai, syarikat itu akan mengambil tindakan sesuai untuk menangani apa-apa pelanggaran ke atas tatacara pengendalian dan piawai khidmat pelanggannya, menurut kenyataan itu lagi.

Comments