Skip to main content

Merdeka Center yakin Najib, Anwar akan debat

debat mca-dap
SHAH ALAM - Susulan debat antara Presiden MCA dan Setiausaha Agung DAP kelmarin, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berharap debat nasional melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, ketua firma kajian pendapat umum ini berkata, debat antara Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng telah memberi lonjakan kepada keperluan bagi debat melibatkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.
Beliau mengulangi pandangannya yang pernah disiarkan oleh Sinar Harian Online awal bulan lalu.
"Saya rasa rakyat sudah mula mengharapkan dan ingin melihat debat-debat melibatkan pemimpin nasional, pemimpin kanan parti akan diadakan di peringkat nasional... rakyat sudah mula merasakan keperluan ini berbanding tiga, empat tahun lalu," kata beliau dengan merujuk kepada debat antara Anwar dan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 2008, beberapa bulan selepas pilihan raya umum lalu.
Ketika itu Ahmad Shabery mengetuai Kementerian Penerangan. Kini beliau Menteri Belia dan Sukan.
Ibrahim juga berkata, beliau tidak melihat debat yang diadakan melibatkan Najib dan Anwar, masing-masing Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) akan merugikan mana-mana pihak.
"Saya rasa tidak. Ia tidak akan merugikan, sebaliknya akan membantu rakyat khususnya membuat pendirian mengenai sesuatu isu," kata beliau.
Ketika ditanya mengenai pendirian yang berbeza antara pemimpin BN dan PR berhubung syor debat melibatkan pemimpin-pemimpin kanan, Ibrahim berkata, situasi itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan BN mendapat akses media yang meluas.
"Mungkin pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno merasakan mereka ada akses kepada media arus perdana dan ia sudah cukup bagi mereka menjelaskan isu-isu semasa," katanya lagi.
Sehubungan itu, Ibrahim yakin debat melibatkan pemimpin kanan antara BN dan PR akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat.
"Kita sedang menuju ke arah itu," katanya lagi.
Laporan Sinar Harian hari ini memetik pemimpin PR berkata, Najib perlu sedia bersemuka dengan Anwar berdebat mengenai isu-isu negara terutama yang membabitkan ekonomi.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang sememangnya ditunggu-tunggu untuk mereka berhujah secara berhadapan, tidak lagi masing-masing melontarkan pelbagai dakwaan antara satu sama lain yang menghalang mereka untuk menyoal dan menjawab secara langsung.
Rakan sejawatannya dari PKR, Nurul Izzah Anwar juga bersetuju supaya perdebatan itu antara Najib dengan Anwar.
Bagaimanapun pemimpin BN mencabar PR mengeluarkan dasar-dasar terperinci mengenai rancangan masa depan negara sebelum menggesa perikatan itu berdebat dengan mereka.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sekiranya Najib berdebat dengan Anwar sekarang, maka BN akan defensif dalam debat yang diadakan.-SH

Comments