Skip to main content

Mahasiswa Diseru Nilai Sendiri 55 Tahun Pemerintahan Barisan Nasional

Petaling Jaya, 6 Feb : “Saya seru mahasiswa dan anak muda nilai dan tentukan sendiri bagaimana hasil pemerintahan kerajaan Barisan Nasional selama hampir 55 tahun sejak merdeka memerintah Malaysia.”
Demikian tegasan Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
Datuk Seri Tengku Adnan ketika melepaskan konvoi Jelajah Aman Kampus anjuran ASPIRASI di Putrajaya menyatakan, sebagai golongan pandai dan harapan negara, mahasiswa seharusnya bijak berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan sesuatu perkara secara keterlaluan.
“Bila kita dirasuk atau diracuni pemikiran sehingga kadang-kala kita tidak ada timbang tara langsung.
“Mahasiswa diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memburuk-burukkan segala dasar dan pelaksanaan kerajaan sejak negara mencapai Merdeka.”, ujar beliau dipetikBernama hari ini.
Bandingkan antara kerajaan-pembangkang
Mohd Taufiq dalam satu kenyataan menyatakan mahasiswa selaku warganegara sah Malaysia berhak menentukan sendiri hala tuju negara dalam undi ketika Pilihanraya Umum.
“Saya tidak ingin nyatakan tawaran Pakatan Rakyat (pembangkang) sudah terbaik tetapi sekiranya itu alternatif terbaik untuk gantikan kerajaan sedia ada, bagi saya itu bukan masalah besar.
“Penilaian terletak di akal waras anda berdasarkan tempo dan nogma setiap batang tubuh pemimpin negara yang bersilih ganti baik di peringkat kerajaan mahupun pembangkang.”, ujarnya.
Jelas satu ugutan
Tambahnya, pemimpin Barisan Nasional tidak sepatutnya mengeluarkan sedemikian yang kelihatan seperti satu ugutan kepada mahasiswa.
“Apabila mereka sudah merasakan sudah memberi yang terbaik kepada mahasiswa dan rakyat, tidak perlu keluar statement seperti itu, jelas satu ugutan dan amaran kepada mahasiswa!”, tegasnya.
“Selama 55 tahun pemerintahan Barisan Nasional, adakah kemajuan pembangunan sahaja yang dibangga-banggakan?
“Adakah sudah lupa akan aspek integriti seseorang pemimpin, amalan rasuah, pecah amanah, penipuan, penindasan dan sebagainya yang selama ini mencengkam rakyat?
“Jangan lupa, kerajaan ada kuasa penuh untuk bendung gejala sosial, maksiat dan perkara-perkara negatif tetapi apakah hasilnya positif sehingga sekarang?”, soalnya.
Patut tukar ‘Jelajah Selamatkan Kerajaan’
Mengenai program Jelajah Aman Kampus yang dianjur ASPIRASI, beliau dengan sinis menyatakan program itu sepatutnya ditukar dengan nama ‘Jelajah Selamatkan Kerajaan’.
“Walaupun Encik Shahar (Presiden ASPIRASI) nafi ianya program selamatkan kerajaan, sudah jelas terdapat agenda tersembunyi yang tidak perlu saya nyatakan dengan lebih terperinci.
“Kerana anda yang mengikutinya sudah faham dan mengerti apa di sebalik tuntutan dan pengisian mereka.”, ujarnya yang juga Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Malaya.
Pihak ASPIRASI diberitakan akan mengadakan jelajah mulai 6 Februari sehingga 19 Februari 2012 yang menerapkan lima aspek utama dalam program berkenaan. - GZDaily

Comments