Skip to main content

Termiskin : Mahasiswa, Pensyarah Kelantan Kecewa Kenyataan Perdana Menteri

Kuala Lumpur, 19 Feb : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Kelantan negeri termiskin di negara ini berbanding Sabah umpama ‘menepuk air terpercik ke muka sendiri’.
Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya, Che Mohd Rozaihan Rosli hari ini menggesa Datuk Seri Najib menilai dan ‘muhasabah’ kembali dengan kenyataan terbabit sebelum menempelak Kerajaan Negeri Kelantan.
“Pasar raya berebut nak masuk ke Kelantan sebab ukuran kuasa membeli yang tinggi, pembangunan bandar-bandar baru dan bandar satelit begitu pesat dibina sekarang, jumlah penerbangan ke Kota Bharu antara yang paling kerap dan banyak lagi.
“Walaupun Kelantan banyak disekat tapi ‘Kelantan Menerajui Perubahan’.
“Saya gesa Datuk Seri Najib fikir dan renung kembali mengapa Kelantan adalah ‘termiskin’ di kepala beliau.”, ujarnya dalam satu kenyataan.
Sabah bukan negeri termiskin
Perdana Menteri kelmarin menyatakan Sabah yang mengalami perubahan besar dalam lanskap pembangunan dan ekonomi sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada 1963, bukan lagi negeri termiskin malah berpotensi untuk maju ke depan.
“Waktu itu (1963) mungkin lebih 70 peratus rakyat Sabah boleh dikatakan miskin, daif dan papa kedana. Namun selepas sekian lama, Sabah tidak lagi merupakan negeri yang miskin.
“Mengikut perangkaan, purata pendapatan per kapita negeri ini kini berada di tengah-tengah negeri terkaya dan termiskin,” katanya.
Najib berkata ini adalah hasil agenda pembangunan negara yang jelas dan berkesan termasuk yang terbaru iaitu Program Transformasi Negara yang bakal merubah masa depan rakyat.
“Transformasi pembangunan negara ini kita lancarkan kerana kita mahu ubah segala-galanya macam Kampung Nala ini (yang sebelum ini kawasan bakau sahaja).
“Kita tidak akan berhenti setakat ini, kita akan teruskan sehingga kita sifarkan miskin tegar yang ada. Dulu ada 30,000 rakyat Sabah yang miskin tetapi hari ini hanya tinggal 7,000,” katanya.
Raih undi rakyat
Rozaihan yang juga mahasiswa jurusan Syariah Undang-Undang Universiti Malaya turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu ibarat sekadar ingin ‘meraih’ undi rakyat Kelantan yang tidak menetap di Kelantan.
“Supaya mereka sedar rakyat yang tinggal di Kelantan tidak senang dengan pentadbiran negeri sekarang dan berharap rakyat Kelantan yang tinggal di luar tahu apa yang berlaku sekarang di Kelantan dan mengubah suasana berkenaan dalam PRU-13 kelak.
“Tetapi kenyataan seperti itulah yang sebenarnya merugikan kerajaan pusat kerana sekian lama rakyat Kelantan ditipu dengan janji-janji palsu, untuk mengembalikan hak royalti rakyat Kelantan dan janji-janji manis lain.
“Kita tunggu dan lihat kesannya nanti.”, sinisnya.
Bukti enam PM gagal
Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah Hayastani pula menyatakan kenyataan terbaru Datuk Seri Najib itu adalah bukti kerajaan Malaysia gagal mentadbir Malaysia dengan baik selama ini.
“Sekiranya benar Kelantan ini negeri miskin mengikut kata Daruk Seri Najib, maka ini bermaksud benar-benar gagalnya enam orang Perdana Menteri.
“Kerana negeri Kelantan ini adalah salah satu negeri dalam gabungan 14 negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia.”, ujarnya dalam satu kenyataan. – GZDaily

Comments