Skip to main content

Pilihan Raya Kampus Wajar Diberi Perhatian

Shah Alam, 15 Feb : Kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik telah lama diperkatakan, sama ada politik kampus ataupun politik negara melibatkan parti-parti tertentu. Rata-rata penuntut yang ditemui bersifat berkecuali daripada terlibat dengan politik tetapi tidak menolak untuk menyokong mana-mana pemerintah.
Saban tahun ratusan mahasiswa mendaftar di universiti dan kolej dengan pelbagai keinginan, matlamat dan gaya penampilan untuk menambah ilmu di dada. Teruja mengulang kaji pelajaran untuk mendapat segulung ijazah dalam pelbagai bidang di menara gading.
Kehidupan yang mencabar di kampus sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan mereka bertembung dengan isu semasa yang melibatkan kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik dan perjuangan peribadi.
Namun dicelah-celah kekalutan menimba ilmu terdapat segelintir penuntut yang membawa fahaman politik masing-masing di luar ke dalam kampus.
Tidak salah jika mereka ini hanya sekadar berpolitik di dalam kampus untuk bertanding merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali gus melahirkan mahasiswa lebih berintegriti.
Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan satu fenomena yang dinamakan politik kampus bagi melantik pemimpin dalam kalangan mereka. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi.
Maka pada sesi tertentu penamaan calon dan perang poster rancak dijalankan bagi membolehkan calon-calon terbaik bertanding seterusnya menjawat jawatan dalam MPP.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Siva Murugan berkata, setiap penuntut di universiti atau kolej boleh berpolitik di luar, tetapi haruslah memelihara keharmonian kampus yang merupakan kawasan neutral.
Tanggungjawab matangkan mahasiswa

Prof Madya Dr Siva Murugan
“Pada saya tidak salah sekadar berpakaian logo parti politik, tetapi mereka tidak boleh mengedar risalah dan mendaftar ahli baru ketika di kampus. Jika ingin membuka blog itu terpulang kepada mereka.
“Memandangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) akan dipinda adalah menjadi tanggungjawab universiti untuk mengimbangi kedudukan menuntut.
“Layan mereka sebagai seorang yang matang, jika berlaku sesuatu tidak diingini di luar kampus biarlah pihak berkuasa yang menentukan hukumannya,” katanya.
Pengalaman menguruskan proses pilihan raya di kampus boleh mematangkan penuntut yang menerajuinya dan ia boleh dijadikan pembelajaran terbaik. Memegang jawatan sebagai pemimpin pelajar ketika berada di kampus boleh menjadikan seseorang penuntut lebih bertanggungjawab dan mewujudkan jati diri yang tinggi.
Proses pembinaan karakter

Mohamad Maliki Mohamed Rapiee
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamad Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, tempoh pengajian di universiti ialah ruang untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar.
“Penglibatan mereka dalam politik kampus adalah salah satu proses pembinaan karakter dalam kepimpinan. Setiap pengalaman seharusnya menjadi pembelajaran yang sangat berguna.
“Mahasiswa mesti bersikap terbuka dan ikhlas dalam perjuangan, nilai dan ideologi yang dipegang tidak pula membolehkan dia menolak dan memusuhi pihak lain yang tidak bersependapat dengannya,” katanya.
Maliki berkata, mahasiswa juga harus berani menentukan jati dirinya tanpa terikut-ikut dengan gaya serta tingkah laku pihak lain, terutama ahli politik luar yang mengamalkan sifat permusuhan dan radikal.
“Sebaliknya, mahasiswa harus mampu mencorakkan persekitaran yang sepatutnya dicontohi oleh masyarakat di luar sana. Barulah mahasiswa layak disebut sebagai agen transformasi,” katanya.
Kewajaran Auku
Kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ketika era Tun Hussein Onn menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati kerana mengekang kebebasan mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan pandangan secara bebas.
Namun, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan akan kesediaan kerajaan untuk berbincang dengan semua pihak termasuk daripada wakil mahasiswa bagi meminda Auku yang dilihat sebagai penghalang kepada mahasiswa untuk menyatakan pendirian dan pendapat tentang sesuatu isu.
Tujuan utamanya adalah untuk melonggarkan peraturan sedia ada supaya mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik. Perkara tersebut wajar, disebabkan mahasiswa diajar bersuara jika tidak puas hati tetapi apabila mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka ‘dipancung’.
Situasi itu menimbulkan tanda tanya di mana kedudukan mahasiswa dalam senario politik negara?
Perlu terbuka

Dr Jayum Jawan
Profesor politik dan Kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum Jawan pula berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu kerana politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa depan.
“Bagi aktivis-aktivis kampus demokrasi, pilihan raya kampus merupakan peluang keemasan untuk menjalankan kempen kesedaran demokrasi bagi mentadbir kampus dalam kalangan mahasiswa.
“Ruang berpidato dan perbahasan dalam kalangan calon-calon yang membawa manifesto masing-masing dilIhat sangat berkesan dalam mempertingkatkan kesedaran mahasiswa dalam politik kampus.
“Calon dan petugas perlu berkempen memperkenalkan diri dan konsep demokrasi kepada warga kampus lain.
“Pilihan raya kampus adalah wacana penting untuk warga kampus menghayati politik sebenar. Pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya kampus.
“Universiti perlu memberi kuasa sepenuhnya kepada MPP untuk menjalankan pilihan raya kampus sendiri dengan hanya menjadi pemerhati. sahaja walaupun politik kampus seolah-olah tidak berpengaruh.”, ujarnya. – GZDaily

Comments