Skip to main content

Berjuang Hingga Keringat Terakhir- Piya

NADANYA penuh semangat dan iltizam untuk membenam impian Harimau Selatan.

Itulah ikrar kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 29 Jun ini sebagai medan merencatkan harapan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bergelar juara Piala FA musim ini.

Selaku penyandang juara piala FA itu, Badhri yang dikenali sebagai Piya turut menegaskan bahawa peluang melangkah ke-90 minit babak akhir itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pasukannya bagi memastikan impian Kelantan mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu tercapai.

“Pertembungan menentang JDT merupakan aksi yang dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak Malaysia dan saya percaya, aksi final ini lain daripada yang lain berbanding dengan edisi lalu.

“JDT merupakan salah sebuah pasukan cukup kuat. Mereka memiliki ramai bintang seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Mat Yo dan Awe serta beberapa lagi pemain lain.

“Saya fikir Mat Yo dan Awe memberikan ancaman cukup besar kepada Kelantan dan kelibat mereka harus diberikan perhatian lebih rapi untuk aksi final itu. Begitu pun, kami akan berusaha mati-matian untuk muncul juara Piala FA sekali lagi,” katanya.

Tambah Piya, bagaimanapun ia bukanlah semudah yang disangka kerana JDT sebuah pasukan yang susah untuk ditewaskan kerana mereka mempunyai barisan pemain berstatus bintang.

Sehubungan itu katanya, mereka harus berwaspada agar Kelantan dapat menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini selepas pasukan itu dilihat gagal untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.

“Setelah kejuaraan Liga Super gagal dipertahankan, kami mahu menjulang Piala FA sebagai pengubat kekecewaan.

“Apa yang pasti, kami juga mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada penyokong-penyokong skuad The Red Warriors (TRW) dengan menjulang Piala FA musim ini,” ujarnya.

JDT mara ke akhir Piala FA selepas menumbangkan Pahang menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sementara itu, Kelantan selaku juara bertahan layak ke pentas akhir selepas menyingkirkan seteru tradisi, Terengganu dengan agregat 6-5.

Kedua-dua pasukan akan berentap di pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala FA musim ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.

Comments