Skip to main content

Pro-M kekal menang tipis di UM selepas undi semula


Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengekalkan kemenangan tipis selepas menambah satu lagi kerusi selepas pengundian semula dijalankan untuk dua kerusi hari ini - fakulti pendidikan serta fakulti sains dan teknologi maklumat.NONEPengundian semula itu diadakan selepas calon-calon bagi kerusi itu yang bertanding dalam pilihan raya kampus Selasa lalu mendapat undi sama banyak.

Dalam pengundian hari ini, Pro-M menang kerusi fakulti pendidikan, manakala kumpulan pro-Aspirasi yang dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa, pula memenangi kerusi fakulti sains dan teknologi maklumat.

Dengan itu, keputusan muktamad pilihan raya kampus UM adalah pro-M mendahului dengan 21 kerusi, Penggerak Mahasiswa memperolehi 20 kerusi, diikuti dengan dua kerusi calon Bebas.

Keputusan pengundian semula hari ini diumumkan Naib Canselor Tan Sri Prof Ghauth Jasmon melalui lamanweb universiti tersebut.
NONEDengan kemenangan tersebut, pro-M berjaya mengekalkan kubunya di UM. Bagaimanapun, jumlah kerusi dimenanginya merosot daripada tahun lalu di mana ia memenangi 23 kerusi.

Dalam pilihan raya lalu, pro-M memenangi 23 kerusi, manakala Penggerak Mahasiswa mendapat 16 kerusi dan calon Bebas meraih dua kerusi.

Dalam pilihan raya kampus tahun ini, pro-M juga berjaya mengekalkan penguasaannya di kubu kuatnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Manakala pengundian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - yang digantung keputusannya kerana masalah teknikal Selasa lalu -  dijangka diadakan semula dalam tempoh terdekat ini.

Comments