Skip to main content

Kejadian tanah runtuh, Shahrizat Jalil tidak sensitif dengan perasaan masyarakat

Bukan semua penghuni rumah anak yatim At-Taqwa adalah anak yatim: Shahrizat



 PEKAN - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bukan semua penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, lokasi kejadian tanah runtuh semalam yang meragut 16 nyawa, adalah anak yatim.

Katanya berdasarkan lawatannya ke lokasi kejadian runtuhan itu semalam, beliau mendapati rumah itu turut beroperasi sebagai tempat pengajian tahfiz dan kem motivasi.


Siasatan awal kementerian mendapati pusat berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita Umno Bahagian Pekan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shahrizat berkata, beliau telah meminta kementerian dan agensi terlibat seperti Kementerian Pelajaran, JKM, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan siasatan segera untuk mengetahui status rumah terbabit dan kebajikan penghuni-penghuninya.

"Pihak tertentu mesti buat siasatan berhubung rumah itu sebab budak tahfiz dan anak yatim tinggal di situ, kem motivasi pun di situ, jadi kita tidak tahu asal-usul kediaman itu," katanya sambil menyampaikan takziah daripada Wanita Umno kepada waris mangsa yang terkorban dalam bencana alam itu.

Beliau berkata, daripada 47 penghuni yang terlibat dengan bencana yang berlaku pada pukul 2.30 petang semalam itu, 27 daripada mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara JKM di mana keluarga atau waris boleh menemui mereka di situ.

Shahrizat berkata sekiranya mana-mana penghuni terbabit disahkan sebagai anak yatim, pihak kementerian akan mengambil tindakan yang sesuai bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.- Bernama

Ulasan HK:
Di dalam suasana hiba dan menyayat hati ketika ini kenyataan Shahrizat Jalil seperti di atas adalah sungguh tidak sensitif dengan perasaan masyarakat khasnya perasaan keluarga dan sanak saudara mangsa yang terlibat.

Apakah Sharizat ingin nyatakan bahawa rumah anak yatim ini beroperasi secara haram apabila ianya tidak berdaftar dengan JKM? Apakah salah untuk mengadakan kem motivasi dan tahfiz di rumah anak yatim tersebut? 

Apakah kerana rumah anak yatim ini tidak berdaftar dengan JKM maka waris mangsa tidak berhak menerima apa-apa bantuan dari JKM?

Tidak pernah sesiapa yang waras akan meminta kejadian bencana sebegini untuk berlaku, apa yang berlaku sudah berlaku dan adalah tanggung jawab semua pihak khasnya pemimpin negara seperti Shahrizat untuk tidak memberi tekanan kepada keluarga yang terlibat.

Hakikatnya kenyataan-kenyataan Shahrizat seperti yang di atas “is uncalled–for” dan tidak kena pada tempat, masa dan ketika. Ketika bencana sebegini sifat kemanusiaan seharusnya mengatasi segala protokol, birokrasi, status dan darjat.

Comments