Skip to main content

Najib Enggan Jawab Sama Ada Melayu Dulu


KUALA LUMPUR, Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak enggan menyatakan pendiriannya sama ada beliau Melayu ataupun Malaysia dulu.
Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan menjawab soalan itu kerana akan menyebabkan berlaku pertentangan pendapat di antaranya dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“1 Malaysia merupakan pembimbing falsafah kita, tidak kira apa yang kamu katakan, selagi kamu mengikutinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar yang menghadiri Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (MSLS) Kelima di sini.
Najib merujuk kepada kenyataan terbuka Muhyiddin  bahawa beliau Melayu dahulu dan Malaysia kedua yang mencetuskan pedebatan hangat mengenai erti konsep 1Malaysia yang sebenarnya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Perdana Menteri menegaskan beliau juga komited untuk menangani isu pengundi hantu menjelang pilihan umum ke-13 — salah satu aspek yang ditekankan oleh pembangkang selama ini.
“Kita komited mahu lakukan transformasi pilihan raya, kita juga mahu tangani isu pengundi hantu dan dengan adanya sistem biometrik kita boleh lakukan,” katanya.
Sebelum ini SPR mengumumkan akan menggunakan sistem biometrik pada pilihan raya namun tidak memberi jaminan ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.
Bagaimanapun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan tetap mendesak agar SPR menggunakan dakwat kekal bagi menangani isu pengundi hantu pada pilihan raya umum ke-13.
Sumber: Harian Malaysia

Comments